
Kisah Ibu Tunggal Menyamar Sebagai Lelaki Selama 36 Tahun Demi Besarkan Anak
Tiada wanita mahu memegang status ibu tunggal, namun siapa mampu menolak takdir yang sudah tertulis.
Menjadi ibu tunggal memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Seperti kisah wanita dari India, dia sanggup menyamar sebagai lelaki selama 36 tahun bagi membolehkannya membesarkan anak perempuan dengan selamat.
Di sebalik penyamaran lebih tiga dekad itu, tersimpan kisah yang amat pilu.
Memetik media India, Petchiammal berasal dari Kattunayakanpatti, Tamil Nadu dikatakan kematian suami tercinta selepas 15 hari berkahwin.
Petchiammal berusia 20 tahun ketika itu, tidak lama kemudian melahirkan seorang bayi perempuan bernama Shanmugasundari.
Dia perlu menyara anaknya seorang diri dan kehilangan punca pencarian membuatkannya nekad untuk mencari pekerjaan.
Pernah bekerja di tapak pembinaan, hotel dan kedai teh namun kerap mengalami gangguan di tempat kerja yang didominasi oleh kaum lelaki.
Tidak tahan berdepan dengan diskriminasi dan gangguan seksual, Petchiammal mengambil keputusan untuk bertukar menjadi ‘lelaki’.
Dia menukar penampilan dan menyamar sebagai Muthu untuk merahsiakan identitinya.
Menurutnya, hanya saudara mara rapat di kampung asal dan anak perempuan sahaja yang tahu berkaitan penyamaran tersebut.
Mahu kekal jadi lelaki
Penyamaran berlangsung begitu lama. Kini kehidupannya dilaporkan makin stabil dan anaknya pun sudah berumah tangga.
Namun, Petchiammal memberitahu dia tetap meneruskan hidupnya sebagai Muthu untuk selamanya.
Katanya, walaupun sudah berusia 57 tahun, namun beliau masih belum bersedia untuk kembali menjadi wanita.
“Identiti sekarang untuk memastikan keselamatan anak saya terjamin. Saya akan kekal sebagai Muthu hingga mati,” katanya.
BACA: Kisah Wanita Mesir Menyamar Sebagai Lelaki Selama 43 Tahun Untuk Sara Keluarga
Sumber: New Indian Express