
Kisah Hitam Di Sebalik Jambangan Bunga Pemenang Pingat Olimpik Tokyo
Kisah Hitam Di Sebalik Jambangan Bunga Pemenang Pingat Olimpik Tokyo.
Kehangatan penganjuran temasya sukan terbesar dunia, Olimpik Tokyo 2020 pastinya mencatatkan pelbagai sejarah.
Selain ditunda selepas setahun, negara tuan rumah yang sememangnya terkenal dengan kecanggihan teknologi tampil dengan inovasi yang membuka dan mencuri tumpuan semua.
Ramai yang mengagumi kepintaran Jepun dalam menghasilkan pingat Olimpik Tokyo yang menggunakan 100 peratus hasil kitar semula daripada telefon terpakai.
BACA: Diperbuat Daripada Alat Elektronik Kitar Semula, Ini Harga Sebenar Pingat Olimpik 2020
Setiap Olimpik, pemenang pingat turut menerima sejambak bunga dan anak patung maskot yang dikeluarkan tuan rumah.
Untuk temasya kali ini, pemenang pingat menerima sejambak bunga berwarna kuning, hijau dan biru yang diikat dengan riben ribu seperti yang diterima atlet Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang memenagi pingat gangsa bagi acara Beregu Badminton Lelaki.
Seperti kisah pingat dan katil kadbod yang mendapat perhatian media, jambangan bunga yang diterima pemenang juga ada kisah di sebaliknya.
Simbol kebangkitan Jepun
Jambangan bunga tersebut adalah simbol kebangkitan Jepun selepas bencana gempa bumi dan tsunami pada tahun 2011 yang mengorbankan 20,000 nyawa atau hilang. Bunga-bunga yang dipilih adalah dari kawasan yang teruk dilanda bencana berkenaan.
Bunga berwarna hijau adalah Eustomas yang tumbuh di Fukushima, yang dilanda tsunami dan kemudian tragedi nuklear yang memaksa ribuan penduduknya berpindah.
Ia bukan kawasan sesuai untuk tanaman bunga tetapi menurut penganjur, sekumpulan aktivis cuba menanam Eustomas bagi merancakkan semula ekonomi Fukushima.
Penanaman bunga adalah langkah awal untuk menguji sama ada kawasan bekas tragedi nuklear itu sesuai untuk pertanian. Sebelum itu sayuran yang ditanam menunjukkan kesan radiasi tinggi dan tidak sesuai dimakan.
Bunga matahari pula dibawa dari Miyagi yang mengorbankan 10,000 nyawa ketika tsunami. Keluarga-keluarga mangsa kembali ke kawasan pergunungan di Miyagi untuk menanam bunga matahari bagi mengingati ahli keluarga yang terkorban.
Miyagi sebenarnya lebih terkenal dengan bunga ros, bukan bunga matahari. Bagaimanapun mereka menggunakan kepakaran dan teknologi untuk menghasilkan bunga matahari lebih kecil.
Bunga berwarna biru pula adalah Gentian dari wilayah Iwate, kawasan pantai di utara Miyagi. Iwate merupakan kawasan penanaman gentian sejak 1960-an.
Jambangan bunga itu turut menampilkan maskot Olimpik Tokyo, Miraitowa. Ia merupakan robot maskot yang membawa maksud masa depan (mirai) dan abadi (towa) yang dibangunkan Tokyo Motor Corporation.
Sumber: BBC