
Kisah Harun Yahya, Pendakwah Selebriti Yang Dipenjara 1,075 Tahun Atas Kesalahan Jenayah Seksual
Adnan Oktar melalui nama penanya Harun Yahya pernah menjadi fenomena di seluruh dunia Islam termasuk di Malaysia sekitar tahun 2000-an. Beliau dikenali sebagai pendakwah selebriti dari Turki yang membawakan isu-isu Islam dan Sains.
Sebanyak 300 buah buku beliau terbitkan antara yang popular mengenai penolakan teori evolusi Charles Darwin, The Atlas of Creation, Keajaiban Saintifik Al-Quran, Kaum-Kaum yang Pupus dan sebagainya yang turut diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.
Sumbangannya dalam penulisan dan siaran dakwah persendirian berjaya mencipta populariti hingga pernah dianggap sebagai ulama kontemporari oleh pengikut-pengikutnya.
Pengaruhnya yang begitu besar dalam dunia Islam turut menobatkannya sebagai top 50 dalam senarai 500 Most Influential Muslims in the World oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre of Jordan pada tahun 2010.
Selain itu, beliau turut memfokuskan penulisan penentangan ke atas idelogi Marxism, Komunis, dan menjadi seorang Anti-Sematic pujaan ramai.
Tumbangnya Harun Yahya
Namun, karier dakwahnya berpuluh tahun itu tumbang apabila segala tindak-tanduk di sebalik tabir akhirnya terbongkar apabila beliau ditahan pihak berkuasa pada 2018 atas beberapa jenayah kontroversi.
Pada Julai 2018, Adnan Oktar bersama para pengikut seramai lebih 150 orang ditahan oleh polis Turki dalam satu operasi khas besar-besaran atas beberapa tuduhan jenayah berat melibatkan keganasan, seksual, wang dan sebagainya.
Agensi berita Andalou melaporkan beliau adalah penjenayah kewangan paling dikehendaki dan lebih 50 senjata dan bekalan peluru disita semasa serbuan.
Oktar dan pengikutnya menghadapi pelbagai tuduhan jenayah termasuklah menjalankan organisasi jenayah, kesalahan cukai, penderaan seksual, pengubahan wang haram, rasuah, keganasan dan cubaan pengintipan politik dan ketenteraan.
Beliau mula menjadi kontorversi apabila mengendali dan mengacara rancangan bual bicaranya, A9 TV; sesi perbincangan agama yang berilmiah bersama para penganut lain dan ahli-ahli kumpulannya.
Kejanggalan dalam rancangan tersebut terserlah apabila turut digabungkan sesi menari bersama wanita muda yang digelar ‘kittens’ serta menyanyi bersama lelaki muda digelar ‘lions’.
Oktar juga diketahui menjalani kehidupan serba mewah, sering memaparkan foto-foto dirinya dikelilingi wanita berpakaian seksi.
Para pengikutnya dilihat tinggal di pangsapuri mewah yang terletak di kawasan eksklusif bandar.
Oktar mula membentuk kumpulan pengikut sejak lewat 1970-an dan sering melanggar peraturan yang memaksa pihak berkuasa bertindak ke atasnya.
Sebelum penahanan secara besar-besaran itu, Oktar juga sudah beberapa kali dibicarakan termasuk atas dakwaan membentuk kumpulan penjenayah tetapi dilepaskan selepas tidak didapati bersalah.
Terbongkarnya jenayah seksual
Perbicaraannya memaparkan perincian mengerikan dan tuduhan jenayah seks yang menakutkan. Oktar memberitahu ketua hakim bahawa dia mempunyai hampir 1,000 teman wanita.
“Terdapat limpahan cinta di hati saya untuk wanita. Cinta adalah kualiti manusia,” katanya.
Seorang wanita dalam perbicaraannya, yang hanya dikenali sebagai CC, memberitahu mahkamah bahawa Oktar telah berulang kali melakukan penderaan seksual kepadanya dan wanita lain. Katanya, beberapa wanita yang diperkosanya dipaksa mengambil pil perancang keluarga.
Atas pelbagai kesalahan yang mana sebahagian besarnya jenayah seksual, pada Januari 2021 Mahkamah Tinggi Turki mensabitkan kesalahan dan memerintahkan hukuman penjara kepada Adnan Oktar selama 1,075 tahun!