
‘Kisah Cinta’ Tan Hong Ming Yang Tidak Dilupakan Setiap Kali Sambutan Kemerdekaan Malaysia
Biarpun sudah 13 tahun berlalu, rakyat Malaysia masih lagi tidak boleh move on dengan ‘kisah cinta’ Tan Hong Min yang menjadi teras iklan Petronas sempena Hari Kemerdekaan pada tahun 2007.
Iklan ini merupakan antara iklan yang sering dinaikkan semula setiap kali negara menyambut kemerdekaan.
https://www.instagram.com/p/BAMVjWwswVI/?hl=en
Diarahkan oleh arwah Yasmin Ahmad, iklan ‘kisah cinta’ Tan Hong Min tersebut berjaya membuatkan rakyat Malaysia terhibur melihat kecomelan kedua-dua watak utama yang menerajuinya.
Biarpun iklan ini sebenarnya ringkas, namun perspektif jujur kanak-kanak mengenai ikatan persahabatan tanpa dihalang oleh perbezaan bangsa dan agama berjaya menambat hati rakyat Malaysia.
Video berdurasi satu minit 33 saat ini berjaya menyampaikan mesej keharmonian kaum dan kerukunan dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga kini.
Tan Hong Ming pada ketika itu masih naif menceritakan ‘kisah cinta’ pertamanya dengan rakan sekelasnya yang juga rakan baiknya yang bernama Ummi Khazriena.
Kali terakhir berjumpa pada Januari 2017 sempena fotografi sebuah akhbar tempatan, ‘pasangan cilik’ ini kembali ditemukan semula dalam satu pertemuan yang dianjurkan oleh pihak Sinar Harian pada awal Ogos lalu.


Keduanya semakin dewasa dan matang, difahamkan Ummi Khazriena kini sedang berkhidmat sebagai pramugari Malindo Air. Manakala Hong Ming pula masih bergelar pelajar ijazah jurusan psikologi.
