Anwar

Kini Di Peringkat Akhir Penggambaran, Filem ‘Anwar’ Bakal Menemui Penonton Awal 2023

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Portal berita Malaysiakini melaporkan, sebuah syarikat produksi dari Indonesia, Bianglala Entertainment kini sedang menghasilkan sebuah filem yang berjudul ‘Anwar’ yang mengisahkan tentang perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di tahun-tahun terakhir sebelum beliau dipecat dari kerajaan.

Dibintangi oleh Farid Kamil sebagai Anwar Ibrahim dan bintang ternama dari negara seberang, Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, filem yang telah diusahakan sejak Ogos 2021 tersebut kini di peringkat akhir penggambaran dan dijangka menemui penonton awal tahun depan.

Hasnul Rahmat pula diberikan tanggungjawab untuk memegang peranan sebagai Tun Dr Mahathir Mohamad manakala Sutradara Terbaik Festival Filem Indonesia 2008, Viva Westi menggalas tugas sebagai pengarah.

Selain dari Acha Septriasa yang terkenal dengan filem Heart sebelum ini, filem ini turut dibantu oleh Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Kartunis terkemuka, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque yang berperanan sebagai Penerbit Eksekutif filem ini berkata, “Perjuangan Anwar Ibrahim melawan rasuah diabadikan dalam sebuah filem layar lebar.”

Menurutnya lagi, filem ini merakamkan perjuangan Anwar dari tahun 1993 sehingga September 1998 iaitu era bermulanya gerakan reformasi terhadap pentadbiran perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, filem ini juga akan memfokuskan kepada perjuangan Anwar melawan “sistem korup” dan bagaimana dia menolak pelbagai imbuhan dan wang tunai.

“Juga bagaimana dia enggan menggunakan wang rakyat untuk bail out (menyelamatkan) syarikat anak pemimpin tertentu yang kerugian berbilion ringgit.

“Kerana itu dia difitnah dengan sebuah konspirasi besar, dipecat, dipukul secara brutal dalam lokap dan dibiarkan tanpa rawatan perubatan hingga beberapa hari,” tambah Zunar lagi.

Anwar

BACA: Rahsia Kejayaan Malaysia Atasi Krisis Kewangan Asia 1997/1998 Tanpa Bantuan IMF

Sumber: Malaysiakini