
Ketua Yakuza Beri Ancaman Kepada Hakim Mahkamah Selepas Dijatuhi Hukuman Mati
Ketua kumpulan samseng atau dikenali Yakuza dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah Jepun sekali gus menjadikan ia kes pertama ke atas ketua mafia Jepun.
Nomura Satoru, 74 tahun, didapati bersalah atas kesalahan memerintahkan empat serangan ganas, salah satunya menyaksikan mangsa mati, menurut hakim Mahkamah Daerah Fukuoka.
Yakuza merupakan sebuah organisasi profesional di Jepun yang terlibat dengan pelbagai jenis kegiatan jenayah hingga mempengaruhi struktur ekonomi, politik dan sosial di sana.
Hakim mahkamah menjatuhi hukuman mati kepada ketua sindiket ‘Kudo-kai’ meskipun media melaporkan terdapat kekurangan bukti atas tuduhan tersebut.
Dalam perbicaraan yang dikawal ketat polis dan petugas keselamatan, Nomura membantah pembabitannya dalam serangan yang dinyatakan dengan mengeluarkan ancaman kepada mahkamah.
“Saya meminta keputusan yang adil… atau anda akan menyesali keputusan ini seumur hidup ini,” ujar Nomura kepada Ketua Hakim selepas hukumannya dibacakan.
Perbicaraan kes menerusi serangan yang berlaku antara tahun 1998 dan 2014, termasuk penembakan maut bekas ketua koperasi nelayan, serta serangan pisau ke atas anggota keluarga mangsa pembunuhan tersebut.
Selain itu, turut didakwa melakukan pembunuhan ke atas seorang jururawat yang merawat Nomura, detektif serta seorang pegawai polis yang menyiasat kes tersebut.
Pendakwa raya berhujah bahawa walaupun mereka tidak mempunyai bukti secara langsung untuk menghubungkan Nomura dengan serangan itu tetapi sebagai ketua, dia bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan kumpulan itu.
Hakim menggambarkan tindakan Nomura sangat kejam, selepas menjatuhkan hukuman kepadanya pada Selasa.
Keputusan itu dikeluarkan sejurus selepas komando kedua Nomura, Fumio Tanoue, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana turut terlibat dalam serangan tersebut.
Bagaimanapun, peguam bagi kedua-dua pihak menyatakan keputusan itu ‘tidak masuk akal’ di hadapan media dan merancang untuk membuat rayuan.
Penganalisis menyatakan keputusan kes tersebut memperlihatkan bahawa Jepun semakin tidak bertoleransi atau tunduk kepada kumpulan mafia lagi.
Kes ini juga disahut oleh rakyat Jepun yang mendesak supaya kerajaan mengambil hukuman tegas ke atas Yakuza.
BACA: Kisah Yakuza Tanah Melayu Yang Berasal Dari Kuala Terengganu
Sumber: News.Au
Trending now



