
Ketua Balai Polis Thai Serah Diri Susulan Video Tular Seksa Suspek Pengedar Dadah Hingga Maut
Seorang ketua balai menyerah diri dan empat lagi anggota polis Thailand ditahan susulan rakaman video tular yang memaparkan penyeksaan seorang suspek pengedar dadah hingga maut.
Menurut media, suspek merupakan seorang lelaki berusia 24 tahun telah ditahan bersama teman wanitanya atas dakwaan menjual methamphetamine di Nakhon Sawan pada 5 Ogos lalu.
Rakaman CCTV yang tular itu memaparkan beberapa anggota polis menyeksa suspek dengan cara melemaskannya menggunakan beberapa helai beg plastik di kepala.
Seorang peguma yang menyiarkan rakaman video berkenaan menerima maklumat bahawa suspek diminta wang sogokan 1 juta baht oleh anggota polis terbabit.
Bagaimanapun, ketua balai polis, Kolonel. Thitisan Uttanapol menuntut pasangan berkenaan untuk membayar sekali ganda dan meminta anggotanya yang lain menyerkup kepala mangsa dengan beg plastik sehingga beliau bersetuju dengan jumlah yang dimintanya.

Lelaki tersebut dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia pada keesokan harinya di hospital.
Thitisan didakwa mengarahkan anggotanya membawa suspek ke hospital dan menberitahu doktor bahawa mangsa mati kerana pengambilan dadah berlebihan.
Mankala teman wanita suspek dibebaskan dengan syarat untuk mendiamkan diri mengenai insiden berkenaan.
Namun begitu, seorang pegawai polis junior di balai tersebut telah membocorkan rakaman CCTV berkenaan dan diberikan kepada peguam untuk menuntut agar polis yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan.
Polis serbu kediaman mewah ketua balai polis
Kolonel. Thitisan Uttanapol turut dikenali sebagai Jo Ferrari oleh rakan sepasukannya telah dipecat selepas rakaman video itu tersebar.
Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha telah mengarahkan satu siasatan yang diawasi Ketua Polis Negara terhadap insiden kematian membabitkan pegawai polis yang terlibat itu.
Polis mencari lokasi keberadaan Thitisan, termasuklah di kediaman mewahnya di daerah Kannayao, Bangkok.
Polis menemui 13 buah kereta mewah termasuk Lamborghini edisi terhad Aventador LP 720-4 ulang tahun ke-50 yang dilaporkan beliau orang pertama di negara itu memiliki bersama dengan kereta Bentley Continental GT.
Thitisan kemudian menyerah diri di Chon Buri pada Khamis, mengatakan tindakannya itu untuk mencari maklumat mengenai pengedaran dadah daripada mangsa.
Walaupun menyalahi undang-undang, rasuah telah dikatakan menjadi sebahagian dalam sistem keadilan Thailand yang diterima secara meluas dengan dakwaan ada pegawai di seluruh negara menerima pembayaran agar kes-kes dibatalkan.
Sumber: Bangkok Post, ABC News
Trending now



