
Ketepi Takut COVID-19, Warga Korea Selatan Sanggup Beratur Panjang Selepas Spekulasi Harga Beg Chanel Naik
Sedang Korea Selatan diancam mengalami gelombang kedua COVID-19 apabila kembali merekodkan peningkatan kes baharu secara mendadak, penduduknya sanggup mengenepikan rasa takut terhadap virus baharu itu apabila mendengar khabar angin barangan berjenama Chanel bakal naik harga.
Penduduknya sanggup beratur dalam barisan panjang seawal pukul lima pagi di hadapan gedung terkemuka Lotte di tengah bandaraya Seoul, orang ramai hanya diberikan tiket masuk ketika butik tersebut dibuka iaitu pada jam 10.30 pagi.
Warga Korea Selatan berbondong-bondong ke pusat membeli belah, ia menunjukkan orang ramai sudah lama memendam perasaan ingin keluar sejak kerajaannya mula melonggarkan garis panduan jarak sosial.
Salah seorang pelanggan yang tiba awal pagi di Lotte itu berkata, bakal menantunya sedang beratur di sebuah butik Chanel yang lain bagi membeli seutas beg tangan jenama tersebut sebagai hadiah perkahwinan.

“Kami telah beberapa kali ke butik Chanel sebelum ini tetapi masih mempertimbangkan sama ada mahu membeli atau tidak.
“Tetapi disebabkan harganya akan naik, kami membuat keputusan untuk membeli sekarang,” katanya.
Chanel kemudian mengesahkan pihaknya menaikkan harga beg tangan dan beberapa barangan kulit di seluruh dunia. Dilaporkan kenaikan antara 5 peratus dan 17 peratus dalam euro, atas sebab kenaikan beberapa harga bahan mentah.
Kebanyakan penduduk Korea Selatan menjadikan beg berjenama itu sebagai hadiah perkahwinan.
Bagaimanapun, keadaan penduduk sanggup bersesak untuk membeli barangan berjenama itu membawa kebimbangan bakal berlaku jangkitan baharu kepada negara yang menjadi model global dalam usaha membendung wabak COVID-19.
“Barangan mewah mencatat pertumbuhan penjualan yang luar biasa berbanding produk lain,” kata jurucakap Moon Ho-ik. Orang ramai yang beratur adalah dua atau tiga kali ganda ketika ini berbanding pada hari normal.
Korea Selatan menjadi pasaran barangan mewah terbesar kelapan di dunia, menurut penyelidik Euromonitor. Setakat ini, negara itu telah mencatatkan hampir 11,000 kes positif COVID-19 dan lebih daripada 250 kematian.
Sumber: CNA