Ketahui Hak Anda Sebagai Pekerja Sepanjang Musim COVID-19

Sumber: NST

Ketahui hak anda sebagai pekerja yang boleh dituntut kepada majikan sepanjang musim COVID-19 ini.

Ramai daripada kita khuatir sekiranya dijangkiti dengan wabak COVID-19, apa nasib yang akan dihadapi nanti sebagai seorang pekerja makan gaji.

BACA: JANGAN PANIK! Bukan ‘LockDown’, Ini Yang Perlu Anda Tahu Tentang Perintah Kawalan Pergerakan Oleh Kerajaan Malaysia

Cakna dengan kekhuatiran pekerja, Kementerian Sumber Manusia (KSM) Malaysia, telah memperkenalkan satu garis panduan bagi mengendalikan isu-isu berhubung penularan wabak COVID-19 di tempat kerja.

Antara seksyen yang boleh diguna pakai dalam isu ini ialah Seksyen 60F Akta Kerja 1955.

Pemeriksaan kesihatan

Mengarahkan pekerja untuk segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan atas pembiayaan majikan.

Tempoh Kelayakan Cuti Sakit Bergaji (Tanpa Hospitalisasi)

Dalam setahun kalendar sekurang-kurangnya adalah seperti berikut:

i. 14 hari jika tempoh bekerja <2 tahun.
ii. 18 hari jika bekerja antara 2- 5 tahun.
iii. 22 hari jika bekerja >5 tahun.

Cuti Sakit Bergaji

Majikan perlu memberikan cuti sakit bergaji atau kelayakan hospitalisasi sepanjang tempoh rawatan di hospital bagi pesakit yang disahkan mempunyai simptom jangkitan COVID-19.

Arahan Kuarantin

Bagi pekerja yang diberi arahan kuarantin melebihi tempoh kelayakan cuti sakit atau hospitalisasi, majikan digalakkan untuk memberi kemudahan bayaran tambahan kepada pekerja bagi tujuan menjaga keharmonian hubungan pekerja dan majikan.

Sekiranya majikan tidak membenarkan cuti sakit bergaji, ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 60F.

Apa Akan Berlaku Jika Sesebuah Negara Umum Perintah Lockdown 5

Seksyen 60E (1B) Akta Kerja 1955

Perintah Kuarantin

Pekerja yang diberi perintah Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman tempoh kuarantin tidak boleh dipaksa menggunakan cuti tahunan sepanjang tempoh kuarantin tersebut kerana cuti tahunan merupakan suatu hak pekerja.

Majikan juga tidak boleh melarang pekerja datang bekerja tanpa Perintah Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah
Kediaman dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar kepada pekerja. Bagaimanapun, majikan boleh mengarahkan mana-mana pekerja yang tidak sihat untuk tidak hadir bekerja dan membenarkan cuti bergaji dibayar kepada pekerja tersebut.

Majikan boleh mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja sebagaimana yang disyorkan di dalam Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan iaitu:

a. Menghadkan kerja lebih masa;
b. Mengurangkan hari-hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan
bilangan kerja seminggu;
c. Mengurangkan waktu bekerja harian;
d. Melaksanakan pemberhentian kerja sementara misalnya dalam bentuk penutupan sementara dengan menawarkan
gaji yang berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula;
e. Mengurangkan gaji pekerja yang dibuat secara adil di semua peringkat boleh dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas langkah-langkah penjimatan kos lain telah dilaksanakan.

Sumber: Kementerian Sumber Manusia