Kesuburan Malaysia

Kesuburan ‘Menurun Dengan Ketara’, Malaysia Catat Kelahiran Terendah Dalam Sedekad

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kadar kelahiran di Malaysia pada tahun lalu mencatatkan jumlah sebanyak 439,744 sahaja iaitu terendah dalam tempoh sedekad.

Menurut Jabatan Perangkaan, ia merupakan penurunan sebanyak 6.7% daripada 471,504 kelahiran yang dicatatkan pada 2020.

Jabatan tersebut turut menyatakan bahawa kadar kelahiran kasar Malaysia menurun dari 14.5 bagi setiap 1,000 penduduk pada 2020 kepada hanya 13.5 pada tahun lalu.

Kesuburan rakyat Malaysia seperti yang diukur dengan Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) pula telah “menurun dengan ketara” dalam tempoh lima dekad lalu.

TFR merupakan petunjuk demografi yang digunakan untuk menganggarkan purata bilangan kanak-kanak yang akan dimiliki oleh wanita sepanjang tahun melahirkan anak.

Angka TFR Malaysia menurun dari 4.9 kanak-kanak bagi setiap wanita dalam usia subur pada 1970 kepada hanya 1.7 sahaja pada 2021.

TFR untuk semua kumpulan etnik utama juga telah merosot dari 2011 hingga 2021.

“TFR untuk semua kumpulan etnik, kecuali Melayu berada di bawah paras penggantian. Paras TFR tertinggi direkodkan oleh Melayu dengan 2.2 bayi manakala Cina mencatatkan TFR terendah iaitu 0.8 bayi bagi setiap wanita berumur 15 hingga 49 tahun,” menurut kenyataan Jabatan Perangkaan itu lagi.

Melihat kepada jumlah kematian pula, pada 2021 angka dicatatkan ialah sebanyak 224,569 iaitu pada paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 34.5% yang disebabkan oleh peningkatan jumlah kematian berlebihan semasa pandemik jika dibandingkan dengan hanya 166,970 kematian sahaja pada 2020.

Kesuburan Malaysia

BACA: Lelaki Pun Boleh Menopause Ke? Ya, Betul. Ini Penjelasan Doktor

Sumber: FMT