Kesan Lebam Angkara Makhluk Halus

Kesan Lebam Di Anggota Badan, Angkara Makhluk Halus Atau Penyakit?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sebaik bangun daripada tidur dan kelihatan ada tanda-tanda lebam, timbul persoalan, bagaimana ia boleh muncul? Sedangkan kita tidak melakukan sebarang aktiviti lasak yang boleh mendatangkan kecederaan.

Bila mencari jawapan, biasanya keadaan itu dilihat sebagai petanda misteri dan dikaitkan dengan unsur mistik seperti kesan lebam pada peha dan lengan adalah perbuatan jin, biru-biru itu adalah kesan gigitan oleh jin.

Tetapi, sejauh manakah kebenaran bahawa kesan lebam itu datang daripada gangguan makhluk halus?

Ramai pakar-pakar kesihatan membetulkan mitos-mitos tersebut. Menurut Pakar Kardiologi, Dr Choor Chee Ken, dalam meniti dunia moden seharusnya tanda lebam yang berlaku ketika tidur itu tidak dikaitkan dengan gangguan mistik atau digigit hantu.

Masalah lebam yang muncul selepas tidur berkait dengan fisiologi tubuh individu khususnya mereka yang mempunyai saluran darah lebih tipis dan rapuh.

Kesan lebam sering menimpa wanita

Kata pakar, biasanya hal itu sering berlaku kepada wanita kerana saluran darah wanita lebih kecil dan tisu kukit mereka lebih tipis berbanding lelaki. Namun ia tidak berbahaya dan boleh pulih tanpa rawatan.

Dalam kebanyakan kes, kecederaan menjadi punca utama lebam tetapi ada juga keadaan yang mana lebam bukan disebabkan kemalangan atau trauma.

Umumnya, lebam adalah keadaan di bawah permukaan kulit yang mana sel darah merah terkeluar daripada saluran darah di permukaan kulit. Apabila sel darah yang asalnya berwarna merah ini terkeluar, ia akan bertukar warna menjadi ungu apabila tidak mendapat oksigen.

Lama-lama ia akan hilang dan warna ungu tadi beransur-ansur menjadi kehijau-hijauan dan beralih ke kuning lalu hilang. Biasanya proses ini mengambil masa dua minggu dan rasa sakitnya mungkin hanya satu atau dua hari selepas kecederaan berlaku.

Namun bagi kes tertentu, lebam juga boleh berlaku disebabkan kesan sampingan dalam pengambilan ubat yang mencairkan darah. Ini merujuk pada kes lebam yang sering dialami pesakit jantung dan strok apabila mereka mengambil aspirin.

Kesan Lebam Angkara Makhluk Halus

Lebam juga tanda penyakit leukemia dan penyakit hati

Selain kecederaan akibat kemalangan dan pengambilan ubat, kata Dr Choor, kehadiran lebam boleh juga menjadi gejala kepada penyakit lebih berbahaya seperti leukemia dan penyakit hati.

Biasanya lebam yang disebabkan faktor kecederaan atau saluran darah rapuh tidak mencetus komplikasi serius dan akan pulih secara semula jadi.

Dalam konteks ini, yang perlu diambil perhatian ialah kes lebam yang merujuk pada keadaan luar biasa seperti lebam itu mula merebak disusuli rasa sakit bagi tempoh lama dan jika ia kerap berulang.

Selain itu, gejala lebam juga terjadi disebabkan badan kurang vitamin C. Akibat kekurangan vitamin C, tubuh akan kekurangan nutrien dan ia akan menjadikan tubuh lebih lemah dalam beberapa aspek.

Jadi, sentiasa amalkan makanan sumber vitamin C setiap hari kerana badan kita memerlukan 70-9-mg dalam sehari. Jangan mengambil rawatan alternatif seperti bekam, akupuntur atau urutan kerana boleh memburukkan lagi keadaan.

Walaupun pakar kesihatan membetulkan fakta yang sebenar dari segi saintifik, masih ada juga masyarakat yang tidak menolak perkara-perkara lain yang menyebabkan kepada tanda-tanda lebam di bahagian anggota badan.

Sumber: Harian Metro, Gempak

BACA: Sindrom Brugada: Penyakit Jantung Misteri Yang Membunuh Dalam Tidur