Doktor

Kesalahan Serius Menggunakan Gelaran ‘Doktor’ Menurut Akta Perubatan 1971

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kerap dilaporkan berlaku kebelakangan ini, beberapa individu yang disyaki menggunakan gelaran ‘doktor’ untuk kepentingan serta tujuan tertentu.

Menurut Akta Perubatan 1971, mereka yang tidak berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia atau Malaysian Medical Council (MMC) tidak boleh menggunakan gelaran tersebut atau menyamar sebagai doktor.

Seorang doktor perubatan terkemuka yang juga salah seorang ahli pengarah MMC, Dr Suhazeli Abdullah telah membuat penulisan berikut di Facebooknya bagi memberi sedikit pencerahan berkaitan isu ini kepada orang ramai.

Doktor

GELARAN DOKTOR

Bagi gelaran doktor, terdapat segelintir manusia cuba mengambil kesempatan. Ini kerana doktor itu mempunyai lesen untuk beramal. Pendek kata doktor mempunyai hak untuk menentukan diagnosa dan merawat penyakit. Ianya melibatkan nyawa manusia. Doktor palsu yang boleh direka-reka oleh individu tertentu semata-mata ingin mengaut keuntungan.

Akta Perubatan Malaysia 1971 menyatakan dengan jelas berkaitan penyamaran gelaran doktor ini. Seseorang yang TIDAK berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia:

  1. Tidak boleh mendakwa mereka itu berdaftar.
  2. Tidak boleh menggunakan gelaran tabib, doktor perubatan, siswazah perubatan dan pembedahan, sarjana muda perubatan, pakar bedah, pengamal am atau apotekari (farmasi).
  3. Tidak boleh sengaja memakai nama atas kefahaman bahawa dia itu seorang doktor atau gelaran yang sepadannya seperti termaktub dalam klausa akta.
  4. Tidak boleh juga menggunakan dan memakai nama atau alatan dengan maksud mendorong orang lain percaya bahawa dia berkelulusan dengan gelaran doktor atau sepadan dengan klausa akta. Contoh ringkas alatan yang sinonim dengan doktor adalah steteskop yang digunakan bagi memeriksa pesakit. Meletakkan steteskop di tengkuk dan mempromosi bahawa dia adalah doktor berdaftar adalah satu kesalahan. Bagi alatan lain, terdapat akta alat-alat perubatan yang hanya dibenarkan untuk digunakan bagi mendiagnos dan merawat pesakit.
  5. Tidak boleh juga menggunakan gelaran doktor dengan menjalankan amalan kaedah-kaedah sains dan moden.
  6. Tidak boleh juga menggunakan istilah premis yang digunakan oleh doktor atau sepadan dengan klausa akta seperti klinik atau dispensari atau hospital atau perkataan bahasa lain yang berupa menjalankan amalan perubatan sebagai seorang doktor berdaftar.

Bagi doktor yang berdaftar pula, mereka mereka boleh menggunakan gelaran berkenaan.

Terlalu besar implikasi jika seseorang yang tidak layak dan menggelarkan diri mereka sebagai doktor. Berubat dan merawat itu melibatkan nyawa manusia. Justeru tidak boleh wewenang menggunakan gelaran bagi meraih status masyarakat apatah lagi mengaut keuntungan duniawi.

Suhazeli Abdullah
6/11/2022
Seri Iskandar

Doktor

BACA: Tan Sri Dato’ Dr. Salma Ismail: Wanita Melayu Pertama Yang Bergelar Doktor Di Malaysia

Sumber: Dr Suhazeli Abdullah