
Kes Wanita Pakai Ihram Diselesaikan Cara Baik, Tiada Sebarang Pendakwaan Dikenakan
Kes wanita mencemar kesucian agama Islam dengan berpakaian ihram seperti lelaki ketika menunaikan umrah di Mekah seperti yang tular di media sosial baru-baru sudah diselesaikan secara baik.
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengesahkan perkara tersebut dan menjelaskan kes itu sudah pun diselesaikan hampir sebulan lalu.
Menurut Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin, wanita itu sebelum ini telah memberikan kerjasama baik dengan hadir bersama ibu dan bapanya di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Perak Tengah di Seri Iskandar.
Ditanya mengenai tindakan susulan, Berita Harian melaporkan Mohd Yusop juga berkata pihaknya mempunyai cara dan pendekatan tersendiri dan wanita terbabit juga kini sedang menjalani sesi kaunseling.
“Mudah-mudahan dia sedar kesilapan dilakukannya serta insaf. Pada saya jika dia tidak insaf dan rasa bersalah, dia takkan datang pun kepada kita sebaliknya mereka datang dengan sukarela,” jelasnya.
Ketika diminta untuk mengulas sama ada tindakan penyelesaian seperti itu membuka ruang kepada kes seumpamanya berulang, Mohd Yusop berkata, ia bergantung kepada keseriusan kesalahan berkenaan, selain bilangan kesalahan sama dilakukan secara berulang.
“Kadangkala mungkin kesalahan itu buat tanpa sedar dan tanpa niat serta tiada maksud tertentu, malah mungkin ada kesalahan yang memang sengaja dilakukan di samping dilakukan secara berulang.
“Umpamanya jika didapati kesalahan itu berulang dan sengaja dilakukan, maka sudah tentu tindakan tegas akan diambil,” tambahnya lagi.
BACA: “Kita Tak Tahu Dekat Mana Dia Duduk” – Wanita Berpakaian Ihram Masih Gagal Dijejaki
Sumber: Berita Harian
Trending now



