
Kes Positif Kembali Meningkat, Seminggu Selepas Perancis Buka Semula Sekolah
Kes di Perancis kembali meningkat selepas kerajaan melonggarkan perintah berkurung, mencatatkan 70 kes baharu COVID-19 melibatkan sekitar sekolah, menurut Menteri Pendidikan pada Isnin.
Ribuan sekolah yang selama ini ditutup akibat pandemik COVID-19 kembali dibuka pada minggu lepas susulan keputusan kerajaan melonggarkan perintah berkurung, walaupun ramai yang khuatir dengan kemunculan gelombang kedua.
Sekolah rendah dan pusat jagaan kanak-kanak kembali dibuka, dengan guru memakai topeng muka, manakala kerusi kanak-kanak dan pelajar dijarakkan, untuk mengelak sebarang jangkitan.
Menurut media tempatan, kelas dihadkan untuk 10 orang pelajar kategori prasekolah dan 15 pelajar untuk kategori sekolah rendah.
Kata Jean-Michel Blanquer, hal sebegini tidak dapat dielakkan dan kebanyakan kes penularan COVID-19 ini berlaku di luar sekolah.
Blanquer menyatakan bahawa 70 kes itu adalah sebahagian kecil daripada 1.4 juta murid sekolah yang telah kembali. Dia mengatakan sekolah yang terjejas akan ditutup serta merta.
Dalam hal ini, Blanquer lebih risaukan masa hadapan para pelajar apabila beliau mengatakan akan berlaku ‘kerosakan besar’ jika kehilangan generasi kanak-kanak yang telah berhenti sekolah selama beberapa bulan.
Terdahulu, Blanquer mengalu-alukan pembukaan sekolah yang akan dilakukan di seluruh negara dan kemudian membuka sebahagian sekolah menengah pada minggu ini.
Bagi mengurangkan kebimbangan ibu bapa, kerajaan memberi pilihan, sama ada mahu membenarkan anak kembali ke sekolah atau kekal menjalani perintah berkurung di kediaman masing-masing.
Keputusan membuka semula sekolah itu mendapat kritikan kesatuan pekerja, yang menyifatkan ia sebagai terlalu awal. Ia turut dipersoalkan beberapa pakar sains dan timbalan menteri parlimen.
Perancis mula melonggarkan perintah berkurung sejak Isnin lalu, dengan orang ramai dibenarkan untuk menjalankan pelbagai aktiviti, selepas hampir lapan minggu terkurung di dalam rumah.
Perancis adalah antara beberapa negara Eropah, termasuk Jerman, Denmark, Norway, Republik Czech, dan Poland, yang telah mula melonggarkan perintah berkurung walaupun ramai yang khuatir.
Denmark menjadi negara Eropah pertama yang membuka semula sekolah, mendorong ibu bapa mendakwa anak-anak mereka dijadikan ‘guinea pig’ oleh kerajaan.
Sumber: Business Insider
Trending now



