
Kes Penceraian Paling Rumit Dan Mencabar: Macam Drama Melayu, Siap Ada ‘Plot Twist’
Seorang kerani di sebuah firma guaman, Farizal Radzali telah berkongsi satu kes penceraian yang dianggapnya sebagai yang paling mencabar setakat ini.
Hantaran yang dibuat di Facebooknya tersebut setakat ini telah mendapat lebih 3,000 tanda suka dan dikongsi oleh warganet lebih dari 1,000 kali!
Tidak mustahil kisah yang diceritakannya ini juga boleh diangkat menjadi sebuah karya novel mahupun siri drama TV satu hari nanti.
Jom baca hantaran menarik yang dibuatnya berikut:
Kami baru selesai uruskan satu kes penceraian (bukan syariah). Isteri yang tuntut cerai, jadi perlu dapatkan tandatangan suami dalam petisyen bersama. Suami tak nak lantik peguam sendiri sebab nanti dia kena bayar upah peguam.
Dalam banyak-banyak kes cerai, kes inilah paling mencabar. Sebab kedua-dua suami isteri ni tak nak berjumpa sesama sendiri. Jadi kami terpaksa jadi orang tengah. Selalunya kami hanya cuma perlu berjumpa sekali dengan kedua-dua suami dan isteri. Tapi untuk kes ni, entah berapa kali la kami terpaksa berdepan dengan mereka.💆🏻
Mula-mula isteri datang, mohon failkan perceraian.
Selalunya kalau kedua-dua pihak setuju bercerai, kerja jadi mudah. Kami pun tak perlu korek semua cerita. Tapi bila ada mana-mana pihak yang menuntut apa-apa, maka kami perlu buat beberapa perbincangan dengan mereka agar kata sepakat dapat dicapai.
Lalu kami panggil suaminya datang pada satu hari yang lain, untuk tandatangan petisyen bersama. Suami tak nak tandatangan selagi isteri tak setuju dengan syaratnya iaitu kos peguam ditanggung isteri 70% dan suami 30%, rumah bersama perlu tukar nama suami, rantai emas hadiahnya perlu dipulangkan, isteri perlu menjaga 2 orang anak lelaki mereka yang ketika itu berusia 14 dan 10 tahun dan isteri tak boleh tuntut apa-apa nafkah darinya.
Anak pun tak nak tuntut? Katanya kalau dia ambil anak, nanti isterinya enjoy. Pulak dah. Selalunya orang berebut anak.
Pening jugak kami. Macam berat sebelah. Tapi kami tak nak masuk campur. Kami tulis dan akan beritahu isteri.
Hari yang lain, kami panggil isteri. Beritahu semua syarat suami. Harapan kami agar isteri membantah sedikit sebab permintaan suami amat tinggi dan seakan tak adil. Tapi kami terkejut kerana isteri kata dia setuju dengan syarat suami.
Lalu di hari yang lain, kami panggil lagi suaminya. Bila kami beritahu isterinya setuju dengan syaratnya, dia mengamuk. Kami pelik jugak, dia yang mintak, dah orang tu setuju, dia nak marah-marah dah kenapa?
Katanya, setelah berfikir, dia tak sepatutnya membayar 1 sen pun upah peguam sebab bukan dia yang nak bercerai. Lalu dia masih tak nak tandatangan petisyen.
Kami panggil lagi isterinya dan beritahu suaminya enggan bayar upah peguam 30% seperti yang diminta pada awalnya. Lalu isterinya masih setuju. Kami pelik, kenapa isteri tak membantah langsung seperti kebanyakan kes yang kami uruskan sebelum ni. Tapi kami tak boleh cakap apa-apa, hanya mengikut.
Lalu kami beritahu suami bahawa isterinya telah setuju. Lagi sekali dia mengamuk. Katanya isterinya curang. Dah ada boyfriend yang muda 10 tahun darinya. Dia kata suruh isterinya mengaku, baru dia akan tandatangan petisyen.
Lalu kami tanyakan kepada isterinya dan isterinya terus mengaku dia ada boyfriend. Katanya dia setuju dengan semua kata-kata atau syarat suaminya, asalkan suaminya sudi melepaskannya.
Lalu kami bagitahu kepada suaminya bahawa isterinya dah mengaku bahawa dia curang.
Suaminya terus meluah perasaan. Katanya dia bekerja di Penang, isteri bekerja di Ipoh. Dia nak pindah balik Ipoh tinggal bersama tapi isterinya larang. Itulah sebab isterinya curang. Kami diam, tak nak masuk campur.
Dia terus membebel. Katanya isterinya dah cantik sekarang sebab ada boyfriend la, isterinya ada banyak duit la, isterinya kikis duit dia, dia penat kerja tapi isterinya enjoy dengan lelaki lain, isterinya jahat la, isterinya begitu isterinya begini. Petisyen tak jugak tandatangan. Pening!
Dia kata, selagi isterinya tak pulangkan rantai dan geran rumah, dia takkan tandatangan petisyen. Kami beritahu dia, semua tu tertulis dalam petisyen dan afidavit. Isteri tak boleh bagi barangan selagi affidavit tak dimeterai oleh mahkamah.
Dia mengamuk lagi. Adoiiii la.
Kami ni sebenarnya bukan nak sibuk sangat ambil tahu hal orang. Tugas kami buat dokumen, sempurnakan dokumen. Siap. Apa yang terjadi di antara pihak terlibat, bukan hal kami dan kami tak perlu tahu.
Tapi kadang-kadang tu, kami jadi tempat meluah, tempat melepas geram, tempat mengadu sedih. Tak kira lelaki mahupun perempuan, anak mahupun mak ayah, adik-beradik dan macam-macam orang.
Tapi di mata orang luar, kami ni kerjanya mencari salah orang, menegakkan benang yang basah, makan hasil haram, sebelah kaki dalam neraka.
Kesudahan cerita di atas, akhirnya suami tandatangan petisyen dan mereka bercerai di atas syarat-syarat yang diminta oleh suami. Itupun lepas kami dah tak lalu nak dengar bebelannya lalu kami serahkan kepada peguam. 10 minit je jumpa peguam, terus tandatangan. Sedangkan setiap kali jumpa kami, berejam-jam dia membebel sampai nak buat kerja lain pun tak boleh.
Kedua-dua mereka sama cantik sama padan. Tapi itulah, ada yang tersilap dorongan sampai jadi perpisahan.
Mula-mula kami pun berprasangka buruk kepada isteri. Sebab isteri curang, dah tentu suami sakit hati. Tapi kami cuma pelik, jarang lelaki nak mengamuk-ngamuk marah, cerita semua hal luar dalam, lelaki jarang cakap banyak dan bergosip. Itu fitrahnya. Tapi untuk kes ni, lelaki ini melawan fitrah.
Katanya isterinya kikis duit dia sedangkan si isteri bekerja dan gaji agak lumayan juga. Sampai kisah mak bapak isteri pun diceritakan. Berapa tanah mak bapak isteri pun dia beritahu kami.
Mujur kami pakai mask, jadi kami tak perlu buat apa-apa reaksi wajah. Hanya memandangnya dengan penuh sabar. 😅
Sekarang, isteri dah bahagia. Tak juga berkahwin lain. Sekarang kami sedang uruskan pembelian rumah oleh si isteri. Tapi suami masih tak boleh move on. Asyik bertanya kami sama ada isterinya dah kahwin lain. Dah tentu jawapan kami, kami tak tahu.
Apa yang diluahkan oleh si isteri, dia tak tahan dengan suaminya yang asyik membebel, maki hamun dan memukul anak-anak. Sebab tu dia tak bagi suaminya pindah ke Ipoh. Sedangkan PJJ pun mereka anak beranak tak tahan, macam mana kalau duduk serumah? Si isteri tiada boyfriend pun tapi kalau itu yang membuatkan suaminya sudi melepaskannya, dia sanggup mengaku.
Tapi semua tu isteri luahkan selepas selesai kes penceraian mereka. Kami hanya mendengar, tidak kami sampaikan. Akhirnya kami abaikan panggilan suaminya yang asyik bertanya tentang bekas isterinya. Dan apa yang kami dengar, si suami mengadu kepada salah seorang klien kami, katanya kami hanya pentingkan duit. Dah dapat duit, kami takkan layan klien kami lagi. Sedangkan dia tak bayar 1 sen pun upah peguam seperti syarat yang dia minta. Semua isteri bayar.
Tak boleh salahkan kata-katanya juga sebab memang begitulah yang kebanyakan orang berpandangan tentang peguam. Dapat duit, tak pedulikan klien dah. Hmmm..
Kami move on. Baik atau buruknya kerja kami, hanya Tuhan yang tahu.
Saya bukan peguam,
Saya cuma kerani.
Farizal Radzali
BACA: ‘True Love Does Exist’ – Wanita Ini Titip Kata Semangat Untuk Mereka Yang Pernah Bercerai
Sumber: Facebook Farizal Radzali