Basikal Tokyo

Kes Kesalahan Meningkat, Penunggang Basikal Di Tokyo Boleh Dikenakan Saman Trafik

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Susulan dari peningkatan kes kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh penunggang basikal, Jabatan Polis Metropolitan Tokyo dikatakan telah memperkenalkan hukuman yang lebih tegas.

Akhbar The Maniachi melaporkan, penunggang basikal di ibu kota Jepun tersebut akan dikenakan saman trafik dan bukan lagi diberikan amaran.

Terdapat empat jenis salah laku penunggang basikal di bawah peraturan baharu yang berkuatkuasa akhir Oktober lalu.

Kesalahan-kesalahan tersebut ialah melanggar lampu isyarat, gagal berhenti seketika di kawasan tertentu, melawan arus atau berbasikal secara laju di kaki lima.

Beberapa tahun kebelakangan ini, banyak insiden kemalangan membabitkan basikal dilaporkan berlaku di jalan raya Tokyo.

Menurut data polis, kemalangan membabitkan basikal menyumbang sehingga 46.6 peratus dalam angka kemalangan tahun ini setakat akhir September lalu.

Bagi tahun 2021, Jepun melaporkan sebanyak 21,906 kes berbasikal secara haram dan 359 kematian direkodkan berpunca dari kemalangan basikal.

Lebih 75 peratus kes yang dilaporkan itu melibatkan kematian, pelanggaran peraturan dan lampu isyarat.

Lonjakan kes yang berlaku adalah dipercayai ekoran dari peningkatan penggunaan basikal yang sebahagiannya didorong oleh industri penghantaran makanan dan perubahan gaya hidup ketika pandemik COVID-19.

Peraturan baharu yang lebih tegas itu juga menyatakan, individu yang dikenakan 2 saman dalam tempoh 3 tahun perlu menghadiri kursus berbasikal yang diselia oleh pihak polis selama 3 jam.

Mereka juga perlu membayar sebanyak 6,000 yen (RM196) untuk sesi berkenaan dan sekiranya gagal berbuat demikian boleh disaman sehingga 50,000 yen (RM1,636).

Hukuman jenayah juga boleh dikenakan terhadap pesalah walaupun kadar pendakwaan akibat saman hanya sekitar 1 hingga 2 peratus sahaja.

Basikal Tokyo

BACA: Konvoi Basikal Undang Bahaya, Geng Kayangan ‘Hobi Mahal’ Semakin Melampau?

Sumber: Kosmo!