
Kes Bunuh Rakyat Malaysia, Keluarga Irene Chung Terima Pampasan Dari Taiwan
Kes bunuh rakyat Malaysia, keluarga Irene Chung diberi pampasan.
Oktober tahun lalu, Malaysia digemparkan dengan berita pembunuhan seorang warganegara berstatus pelajar di satu kawasan berhampiran daerah Alian, Kaohsiung, Taiwan.
Mangsa yang dikenali sebagai Irene Chung, 24 tahun merupakan pelajar tahun tiga Universiti Christian Chang Jung, Tainan dilaporkan hilang dan kali terakhir dilihat masih hidup adalah pada 28 Oktober 2020.
Menurut satu rakaman litar tertutup (CCTV), Irene Chung kali terakhir dilihat pada tarikh tersebut berjalan bersendirian di tol di daerah Gueiren, Tainan,
Suspek berusia 28 tahun yang tidak dikenali mangsa kemudiannya ditahan selepas hasil siasatan mendapati bukti merujuk kepada suspek dan dengan penemuan sebuah kereta yang memiliki kesan darah dan sebungkus seluar dalam wanita.
Tidak lama selepas pengakuan suspek, polis menemui mayat mangsa di lereng bukit Kaohsiung yang diakui suspek dicekik sebelum dicampak di pergunungan tersebut.

Keluarga Irene Chung kemudiannya memfailkan saman kepada beberapa pihak berkuasa di Taiwan kerana ‘salah laku dan kelalaian’ yang menyebabkan kematian mangsa.
Dalam satu sidang media, peguam keluarga mangsa menjelaskan sekiranya langkah pencegahan diambil, mungkin mangsa akan selamat.
BACA: Video Tular Serang Pengawal Keselamatan, Polis Klasifikasi Semula Kes Sebagai Bunuh
Dalam perkembangan terbaharu kes bunuh Irene Chung, pihak berkuasa Taiwan dikatakan telah bersetuju untuk membayar pampasan berjumlah RM300,000 (2 juta TW) kepada keluarga Irene Chung sebagai ganti rugi bagi perbelanjaan pengebumian dan pengantaraan bersesuaian dengan Artikel 6 Akta Perlindungan Mangsa Jenayah Taiwan.
Sebagai ingatan kepada mangsa, pada November tahun sama, Chang Jung Christian University (CJCU) mendirikan satu biasiswa di bawah nama mangsa dan di Taiwan juga, 28 Oktober kemudiannya ditetapkan sebagai Hari Keselamatan Kampus.