Kematian Adib Akibat Jenayah

Kes Adib: Keluarga Mahu Saman PDRM

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan mengambil tindakan sivil untuk menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis sehingga menyebabkan kematian anggota bomba itu.

Bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata, kematian anaknya yang belum terbela menyebabkan mereka sekeluarga masih bersedih walaupun reda dengan pemergiannya itu.

“Saya kehilangan anak tetapi kematiannya masih belum terbela, jadi saya mahu menuntut ganti rugi, kami sekeluarga sungguh kecewa dan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador

.

“Saya berasa perkara ini pelik, bagaimana Ketua Polis Negara membuat kenyataan bercanggah sedangkan Mahkamah Koroner sudah putuskan arwah meninggal dunia akibat perbuatan jenayah,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Mohd Kassim berkata, keluarganya sangat berharap polis dapat mengenal pasti saksi dan menangkap pesalah yang memukul anaknya sehingga meninggal dunia.

Katanya, keputusan yang dibuat Mahkamah Koroner bukan satu perkara mudah dan ia mengambil masa lama kerana perlu memanggil saksi dan pakar tertentu.

Peguam mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim berkata, pihaknya berpegang pada pandangan sebelum ini bahawa punca kematian anggota bomba itu akibat dipukul dan ia selaras dengan keputusan Mahkamah Koroner 27 September 2019.

Kematian Adib Akibat Jenayah
Sumber: Kosmo

Isnin lalu, KPN Polis berkata, sehingga kini masih tidak ada saksi yang dipanggil memberi keterangan benar-benar melihat Adib dipukul.

Katanya, kesemua keterangan yang diperoleh pihaknya bersifat dengar cakap dan juga pendapat. Beliau juga menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan polis tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner.

“Tidak ada fakta yang terpesong, tidak benar dan menyimpang dalam sidang media yang dibuat. Segala fakta yang diberikan adalah hasil siasatan dan dapatan terkini. Ia bukan untuk menyanggah hasil daripada keputusan inkues,” katanya.

Mahkamah Koroner pada 27 September tahun lepas memutuskan Adib menemui ajal akibat perbuatan pihak ketiga yang menyerang dan memukul beliau dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 November 2018.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar inkues kematian anggota bomba itu memutuskan perkara itu setelah berpuas hati dengan keterangan saksi sepanjang prosiding.

Sumber: Harian Metro