
Kerajaan Pantau ‘Pembelian Panik’ Rakyat Singapura Di Johor
Kerajaan pantau pembelian panik rakyat Singapura di Johor.
Setakat pagi ini, kes koronavirus yang melanda dunia sudah mencecah 43,100 kes. Manakala angka kem4tian kini sudah mencecah 1,018 dengan kes pulih sepenuhnya sebanyak 4,043.
Dalam jumlah kes berkenaan, dilaporkan 7,345 (19%) daripadanya berada dalam keadaan kritikal atau serius. Kes koronavirus di Malaysia pula kini sudah mencatatkan 18 kes yang mana tiga daripadanya sudah dilaporkan pulih.
Di Singapura, kerajaan sudah mengumumkan Amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) berada di tahap jingga/oren yang mana berada satu tahap di atas merah.
BACA: Isytihar Amaran DORSCON Tahap Oren, Rakyat Singapura Diminta Jangan Panik Borong Bekalan
Sehubungan dengan itu, rakyat Singapura yang khuatir sekiranya dikuarantin telah melakukan pembelian panik sehingga menyebabkan banyak rak-rak di pasar raya Singapura kosong.
Berikutan dengan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pemantauan pada pasar raya-pasar raya di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Kulai supaya tidak terjejas dengan keadaan tersebut.
Pemantauan yang melibatkan 604 premis oleh 60 pegawai penguatkuasa dalam operasi yang dijalankan selama dua hari.
Pemantauan juga dilakukan supaya peruncit tidak menyimpan barangan kawalan serta menjual mengikut harga yang ditetapkan kerajaan.
Hasil siasatan kepada 187 buah premis berikutan laporan orang ramai, dua premis telah dikenal pasti menjual barangan kawalan melebihi harga yang ditetapkan telah dikenakan denda sekitar RM500 hingga RM10,000.
Sumber: FMT