
Kerajaan Negeri Mahu Jadikan Youtuber Sensasi, Sugu Pavithra Sebagai Ikon Wanita Dan Masakan
Kisah seorang suri rumah yang mewujudkan siaran Youtube bagi berkongsi resipi dan cara hidup mereka sekeluarga, Sugu Pavithra mendapat perhatian daripada masyarakat Malaysia kerana keikhlasan hatinya terserlah pada setiap video yang dimuat naik.
Sugu Pavithra yang tinggal di kuarters ladang swasta, Ladang Elphil yang disediakan oleh majikan suami di Sungai Siput, Perak kini mendapat perhatian Jabatan Pembangunan Wanita untu diangkat sebagai Ikon Wanita dan Masakan Perak.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, ibu kepada dua cahaya mata berusia 28 tahun itu layak dijadikan inspirasi kepada wanita lain atas kecekalannya membina kerjaya melalui minat dan kemahiran memasak yang dimiliki.
“Bagi pihak kerajaan negeri, kita berasa bangga ada anak Perak yang boleh mencetuskan idea daripada ‘zero’ kepada ‘something’ hanya menggunakan kepandaiannya memasak dan peralatan dimiliki di rumah sahaja.
“Di situ kita dapat lihat kecekalannya dan dengan sokongan suami serta keluarga, dia mampu mencetuskan sensasi hingga berada dekat di hati rakyat, individu seperti ini patut dijadikan contoh bahawa tidak kira kita berada di mana pun, jika ada minat, usaha dan kemahuan pasti boleh berjaya,” katanya.
Kata pihak Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Perak, Pavithra akan diundang ke sebuah program baharu di bawah Jabatan Pembangunan Wanita yang mengetengahkan bakat-bakat wanita menerusi media sosial, pada pertengahan Jun ini.
Menerusi program tersebut, Pavithra akan membuat demonstrasi masakan gulai tempoyak yang menjadi salah satu menu ikon di Perak.
Normal baharu yang dipraktikkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini adalah masa yang tepat untuk jabatan menyokong usaha wanita-wanita membina kerjaya menerusi media sosial sekali gus menjana pendapatan.
“Selepas masakan, kita akan teruskan kerjasama dengan ikon lain pula seperti bidang jahitan, lukisan dan sebagainya secara berterusan,” katanya.
Terdahulu, Pavithra dan suami menerima hadiah istimewa daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin antaranya adalah tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak.
Perkongsian video masakan mereka kini sudah diikuti hampir 640,000 pengikut pelbagai kaum termasuk luar negara dari India dan Jepun.
Sumber: Sinar Harian