
Kerajaan Minta Al-Jazeera Mohon Maaf, Cabar Kemuka Nama Negara Beri Kebebasan Kepada PATI
Tuduhan tidak berasas agensi berita antarabangsa, Al Jazeera yang mendakwa Malaysia melakukan diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin (PATI) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dijawab oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Laporan bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat itu tidak tepat sama sekali, serta terpesong daripada keadaan sebenar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor Mansion.
Justeru, Al Jazeera perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas dakwaan perkauman terhadap warga asing ketika COVID19 kerana ia jelas tidak wajar, mengelirukan dan berniat tidak baik.
Katanya, setiap individu yang berada di dalam kawasan PKPD menjalani ujian swab termasuk warga negara bagi memastikan mereka bebas dari wabak berkenaan selain mengenalpasti mereka yang bergejala.
Beliau berkata, tindakan media antarabangsa itu menuduh kerajaan bersifat rasis juga tidak benar kerana apa yang dilakukan berdasarkan undang-undang.
BACA: KKM, NGO Sanggah Laporan Negatif Al-Jazeera, Sengaja Jejaskan Imej Malaysia
Katanya, Jabatan Imigresen mengambil tindakan mengikut Akta Imigresen, dengan menahan mereka yang tiada dokumen sah atau langsung tiada dokumen ketika berada di negara ini.
“Tuduhan kita mengurung pendatang asing tanpa izin (PATI) juga tidak benar kerana Maahad Tahfiz, perkampungan di Hulu Langat juga dikenakan perintah berkurung.
“Kita boleh tanya Al Jazeera ini, berikan kita mana-mana negara yang berikan kebebasan mutlak kepada warga asing yang tidak ada dokumen.
“Jawapannya tidak ada kerana semua negara ada akta yang hampir sama dan semua warga asing yang masuk kena ada dokumen yang sah.
“Saya cabar Al Jazeera tunjukkan mana-mana negara yang berikan kebebasan mutlak kepada mereka yang tidak ada dokumen,” kata Ismail Sabri dalam sidang media PKPP di Putrajaya.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil serius dakwaan wujud isu perkauman dan kerajaan lebih memihak kepada kehendak rakyat dan sudah pastinya rakyat mahu melihat semua orang tinggal di negara ini mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Tidak salah jika rakyat mahukan kerajaan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan seperti warga asing yang memasuki Malaysia tanpa permit dan dokumen yang sah.
Sudah lama juga sebenarnya kita sebagai warganegara bersabar dengan pelbagai kerenah yang ditimbulkan mereka ini.
Sumber: Suara Merdeka