Aplikasi E-Dagang Kerajaan

Kerajaan Mahu Bangunkan Aplikasi E-Dagang Untuk Tandingi Lazada, Shopee Tapi Netizen Tak Yakin

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kerajaan Mahu Bangunkan Aplikasi E-Dagang Untuk Tandingi Lazada, Shopee.

Ketika ini, didapati tabiat membeli-belah baharu dalam kalangan pengguna Malaysia iaitu menerusi dalam talian meningkat kira-kira 20 peratus lebih banyak masa di platform e-dagang sedia ada dalam seminggu.

Ini menandakan peningkatan pergantungan pada e-dagang yang menawarkan pengguna akses sehenti kepada segalanya, termasuk hiburan.

Daripada barangan runcit dan produk haiwan peliharaan, konsol permainan, hinggalah peralatan rumah amat popular dalam kalangan pengguna kerana mereka mencari barang keperluan harian dan permainan untuk dinikmati dan menghiburkan seisi keluarga.

Jelas di sini bahawa ekonomi digital termasuk sektor e-dagang menjadi ‘penyelamat’ ketika sektor utama berdepan cabaran besar.

Oleh itu, untuk memberi kemudahan kepada rakyat di negara ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan membangunkan satu aplikasi penjualan dalam talian.

Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pihaknya sedang dalam perancangan untuk mewujudkan sebuah aplikasi yang pada peringkat awal ini diberi nama Online Market.

Aplikasi E-Dagang Kerajaan
Sumber: The Star

“Saya sudah meminta pihak Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp), Institut Keusahawan Negara (Insken), Institut Koperasi Malaysia (IKM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membuat kajian terhadap pelaksanaan aplikasi berkenaan,” katanya.

Tambahnya, apabila aplikasi dari kementerian tersedia, semua pengguna tidak perlu lagi akses kepada Lazada, Shopee ataupun Alibaba kerana platform sedia ada ini mengenakan caj yang lebih tinggi.

Mengulas lanjut, beliau berkata apabila aplikasi itu dilancarkan nanti, beliau cukup yakin bahawa ia akan menjadi satu pergerakan penjualan dalam talian terbesar di dalam negara.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan kelainan atau kelebihan yang akan ditawarkan pada platform itu nanti bagi menyaingi platform sedia ada.

Bagaimanapun, rata-rata netizen mempersoal kewajaran kerajaan untuk membangunkan aplikasi e-dagang tersendiri memandangkan ada perkara yang lebih penting untuk ditekankan.

“Baik bantu usahawan ajar macam mana nak lariskan jualan di platform jualan dalam talian sedia ada.”

“Jangan buang duit. Lebih baik bekerjasama dengan platform sedia ada untuk bantu rakyat berniaga.”

“Fungsi kerajaan untuk mewujudkan dan memungkinkan persekitaran perniagaan yang kompetitif dan sihat. Bukan buat bisnes.”

Dalam pada itu, netizen juga tertanya-tanya dengan sebuah laman sosial jenama Malaysia iaitu 1Malaysia.com yang pernah dibangunkan sekitar tahun 2011 tetapi kini tidak lagi boleh diakses.

Aplikasi E-Dagang Kerajaan

Aplikasi E-Dagang Kerajaan

Apa komen anda?

Sumber: Bernama