Ayah Pin 3

Kerajaan Langit Ayah Pin Kekal Popular, Sehingga Kini Masih Lagi Ada Pengikut

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sebut saja Ayah Pin, pasti terma Kerajaan Langit tidak dilupakan.

BACA: Wujud Ajaran Ayah Pin Versi Baharu, Didakwa Bertapak Di Lembah Klang

Terkenal sebagai seorang pengamal ajaran sesat di Malaysia, Ayah Pin (1941-2016) merupakan pengasas kepada kerajaan Langit dan menyifatkan dirinya sebagai Tuhan kepada semua agama.

Asal usul Ayah Pin

Pemilik nama Ariffin Mohamad ini mendakwa beliau telah menerima wahyu dari langit untuk mengembangkan ajarannya di muka bumi, bermula di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu.

Biarpun hanya bersekolah sehingga darjah dua dan buta huruf, kebanyakan pengikutnya percaya dengan segala apa yang disampaikan dan dilakukannya sehingga menerima layanan seperti raja kayangan – segala kelengkapannya disediakan.

Sejarah Penubuhan Kerajaan Langit Ayah Pin, Sehingga Kini Masih Lagi Ada Pengikut 3

Pada tahun 1953, Ayah Pin sakit tenat dan mendakwa ada malaikat telah melawat beliau. 20 tahun kemudian, malaikat tersebut kembali melawat beliau dan hasilnya Ayah Pin pun memulakan kerjaya rohani.

Selepas salah seorang anak perempuannya berkahwin dengan Hassan Anak Rimau, yang merupakan pengasas ajaran sesat di Kelantan, Ayah Pin menjadi pengikut Hassan sebelum mewujudkan satu ajaran sesat yang baru iaitu Kerajaan Langit.

Dengan kehebatannya, Ayah Pin bukan sahaja berjaya menarik penduduk tempatan malahan orang dari luar negara seperti Afrika, India dan British turut berjaya diperdayakan untuk mengikuti dan mengangungkannya sebagai Tuhan segala agama.

Kerajaan Langit Ayah Pin

Diisytiharkan sesat pada Disember 1997 oleh Jabatan Agama Islam Terengganu, Ayah Pin membangunkan kawasan Kerajaan Langit dengan teko, pasu dan beberapa lagi replika besar sebagai lambang kepada kuasa Tuhan yang diamanahkan kepada dirinya untuk melindungi dan memayungi umat Islam.

Sejarah Penubuhan Kerajaan Langit Ayah Pin, Sehingga Kini Masih Lagi Ada Pengikut

Berpusat di Hulu Besut, Terengganu, Ayah Pin pernah memohon sebidang tanah untuk kegunaan kegiatan sesat mereka dengan kenyataan dalam permohonan ianya adalah untuk kegunaan pertanian.

Ajaran Ayah Pin

Ayah Pin mendakwa dirinya sebagai Tuhan kepada semua agama – penjelmaan semula Jesus, Buddha, Shiva dan Muhammad yang mana pengikut-pengikutnya percaya bahawa pada satu hari nanti, Ayah Pin akan kembali sebagai Imam Mahdi.

Ayah Pin 1

Dianggap sebagai Raja Langit dan objek tertinggi pengabdian untuk semua agama, Kerajaan Langit menekankan dialog ekumenikal (seluruh dunia atau umum) dan keharmonian antara agama menjadikan pengikut beliau terdiri daripada orang yang memiliki pelbagai latar agama.

Simbol Ideologi

Ada beberapa smbol ideologi yang menjadi dasar kepada ajaran ini antara yang paling ketara ialah:

1. Teko

Teko dua tingkat berwarna krim yang dipadankan dengan pasu biru bernilai RM45 juta. Menjadi lambang kepada kesucian air dan ‘suka mencurah dari langit’, ianya merupakan model prototaip cakerawala.

Setiap pengikut yang pertama kali melawat markas Kerajaan Langit akan diminta untuk minum air suci dari pasu yang sentiasa dipenuhi oleh teko.

2. Payung kuning

Payung kuning yang sama besar dengan teko memberi lambang ianya sebagai ‘tempat umat berteduh di bawahnya Allah’ selain daripada dikaitkan dengan sembilan planet dalam agama Hindu.

3. Bot nelayan yang kononnya Bahtera Nabi Nuh

4. Ikon bulan sabit sebagai perlambangan orang tanpa agama

Kejatuhan Kerajaan Langit

Kerajaan Langit Ayah Pin tumpas pada Julai 2005 selepas 10 tahun bertapak di Malaysia. Pada tahun 2005, beberapa kali markas Ayah Pin dimusnahkan antaranya oleh individu bertopeng dan  pegawai-pegawai Pejabat Tanah Besut.

Ayah Pin dan pengikutnya ditahan dan didakwa di mahkamah selain daripada markas Kerajaan Langit dimusnahkan. Namun Ayah Pin menyatakan beliau tidak boleh dianggap atau dituduh sesat kerana sudah keluar daripada agama Islam sejak 1998.

Ayah Pin

Semasa pihak berkuasa melakukan serbuan, Ayah Pin dan empat isterinya sudah melarikan diri dari perkampungan tersebut. Beliau yang hilang tanpa jejak menyebabkan wujudnya beberapa spekulasi antaranya telah melarikan diri ke selatan Thailand dan ghaib bersama empat isterinya.

Pada 2016, Ayah Pin disahkan meninggal dunia di akibat sakit tua dan didapati menghidap beberapa sakit lain seperti angin ahmar. Dikebumikan di kawasan perkuburan Kampung Batu 13, Hulu Besut.