
Kerajaan Kaji Cadangan Had Laju Motosikal Kapcai Kepada 70km/Jam Elak Kemalangan
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, cadangan mengehadkan kadar kelajuan motosikal berkapasiti kecil atau kapcai kepada 70km/jam akan diteliti sebaiknya.
Bukan sahaja melibatkan isu keselamatan dan kos, malah kerelevanan cadangan itu perlu dilihat daripada pelbagai sudut kerana akan melibatkan kira-kira 10 juta pemilik motosikal berdaftar di Malaysia.
Tambah Loke, cadangan bagi mewujudkan laluan khas penunggang motosikal di sebelah kiri jalan raya akan dikemukakan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk dijadikan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Ogos lalu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian memberitahu cadangan menghadkan kelajuan motosikal jenis kapcai masih belum boleh dilaksanakan kerana penelitian perlu dilakukan dalam tempoh masa yang panjang.
Cadangan mengehadkan kelajuan ini bermula apabila kumpulan prokeselamatan jalan raya, The Safety First Group menggesa kerajaan dalam mengehadkan kelajuan motosikal kapcai selain daripada meminta lebih banyak laluan khas motosikal dibina bagi mengurangkan kemalangan membabitkan golongan bermotosikal.
Namun cadangan ini tidak dipersetujui ramai antaranya perunding keselamatan jalan raya, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud yang menyifatkan ianya boleh digunakan dalam tempoh jangka pendek tetapi bukan bagi penyelesaian menyeluruh.
Kerana fokus yang salah dan cadangan yang boleh dikatakan tidak masuk akal, Tengku Ahmad Marwan merasakan kerajaan sepatutnya memfokuskan kepada mendidik masyarakat berbanding hanya menguatkuasakan undang-undang.
Sumber: Sinar Harian, Dialog Rakyat
Trending now



