
Kerajaan Disaran Agar Kembalikan Semula Sesi Baharu Persekolahan Pada Bulan Januari
Kerajaan baharu khususnya Kementerian Pendidikan disarankan agar memulakan usaha untuk mengembalikan sesi persekolahan kepada bulan Januari bagi memudahkan pengurusan agar lebih baik dan terancang.
Wartawan Nur Adriana Mohd Azman dari Utusan Malaysia melaporkan, takwim sesi persekolahan baharu yang dianjakkan kepada Mac sejak tahun lepas sewajarnya dikembalikan semula kepada jadual asal iaitu bermula Januari untuk sesi 2024.
Demikian menurut Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan yang berpendapat langkah tersebut juga perlu dilaksanakan secara berperingkat dan tidak tergesa-gesa bagi memberi ruang kepada ibu-bapa membuat persiapan untuk persediaan pembukaan sekolah.
“Bagi saya, sebaiknya kita kembali kepada sesi persekolahan asal kerana tempoh pandemik pun sudah habis dan kita pun sekarang sudah berada di dalam sesi endemik.
“Hendak melaksanakan perkara ini tidak perlu tergesa-gesa dan semua pihak daripada kementerian juga harus terlibat. Selain perlu mendapat maklum balas dari sesi libat urus pelbagai pihak seperti persatuan-persatuan guru dan kongres guru,” jelasnya.
Menurutnya lagi, sesi persekolahan wajar dimulakan pada Januari agar silibus dan sukatan pelajaran dapat dilaksanakan serta diselesaikan tanpa sebarang permasalahan dari segi peruntukan masa.
Ibu bapa dan pihak sekolah juga perlu bekerjasama agar apa-apa maklumat berkaitan pembukaan sekolah dapat diterima dan dirancang dengan baik.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom juga percaya perubahan tarikh permulaan persekolahan itu hanyalah secara sementara.
“Perubahan tarikh sekolah ini dianjakkan kepada bulan Mac adalah disebabkan penutupan sekolah pada wabak Covid-19 yang dahulu.
“Jadi disebabkan ada isu-isu pelajar tidak dapat belajar dan sebagainya, tempoh pembelajaran terpaksa dipendekkan untuk memberi peluang kepada pelajar yang lain khususnya yang akan menghadapi peperiksaan,” katanya.
Walau bagaimanapun, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan pula berkata, tarikh persekolahan pada masa ini perlu dikekalkan.
Ini bagi mengelakkan cabaran untuk membuat persiapan terutama sekali menjelang sambutan tahun baharu dan perayaan-perayaan akhir tahun yang semestinya memerlukan kos yang agak tinggi.
BACA: Tahun Depan Anak Masuk Darjah Satu? Guru Ini Kongsikan Senarai Barang Keperluan Sekolah
Sumber: Utusan Malaysia