
Kerajaan Digesa Laksanakan GEG Arak Dan Judi Terlebih Dahulu, Baru Rokok Dan Vape
Langkah kerajaan untuk memperkenalkan Dasar Penamat Generasi atau Generational End Game (GEG) yang bertujuan untuk mengharamkan rokok dan vape kepada generasi akan datang sepatutnya dilaksanakan terhadap arak dan judi terlebih dahulu.
Demikian saranan dari Datuk Nadzim Johan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang berpendapat tindakan tersebut bertepatan dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
“Kita adalah negara Islam. Sewajarnya aktiviti perjudian, kelab malam, rumah urut, arak dan sebagainya tidak patut ada di negara kita.
“Seeloknya kerajaan haramkan yang itu terlebih dahulu. Kita tahu, kesemua itu haram di sisi agama Islam tetapi ia masih ada di negara ini,” jelas beliau.
Menurut beliau lagi, PPIM sebagai sebuah entiti yang memperjuangkan pengguna Islam di Malaysia, juga mahu melihat generasi masa hadapan, beragama Islam terutamanya tidak kenal apa itu arak dan judi.
Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang melaksanakan GEG dengan melarang generasi yang lahir pada tahun 2007 untuk membeli, memiliki dan menghisap rokok ataupun vape pada pendapat beliau merupakan satu tindakan yang baik.
Namun, adalah janggal bagi sebuah negara yang majoritinya penduduk beragama Islam mengharamkan rokok dan vape tetapi tidak mengharamkan arak serta judi.
“Kita harus haramkan semua ini dari anak-anak masa hadapan. Jika ia dilarang mengikut undang-undang sivil menerusi polisi seperti GEG ini, negara kita akan menjadi negara Islam yang dihormati dunia.
“Jika kerajaan melaksanakan GEG bagi arak, judi, kelab malam dan sebagainya, saya yakin ramai rakyat Malaysia akan menyokongnya tidak kira bangsa dan agama,” tambah beliau lagi.
BACA: Tak Setuju Haramkan Vape, 600,000 Tandatangan Berjaya Dikumpul Untuk Bantah GEG
Sumber: Sinar Harian