
Kerajaan Digesa Bendung Acara Liar, Konsert Justin Bieber Di Malaysia Mungkin Akan Dibatalkan
Setiap kali ada artis antarabangsa yang dijadualkan untuk membuat persembahan atau konsert di Malaysia, tajuk berita begini pasti keluar.
Sejak dari dulu lagi, ketika Kuala Lumpur dijadikan salah satu destinasi konsert jelajah untuk Michael Jackson, Taylor Swift mahupun Metallica, akan kedengaran suara-suara lantang yang menentang aktiviti maksiat dan lagha seumpama ini.
Lain pula kisahnya jika artis-artis tersebut adalah dalam kategori nasyid atau ketuhanan seperti Yusuf Islam, Maher Zain dan Nissa Sabyan yang lebih molek serta sesuai dengan agama dan budaya sebuah negara Islam seperti Malaysia.
Kali ini, Justin Bieber tidak terkecuali apabila konsert Justice World Tour yang dijadualkan akan diadakan pada 22 Oktober 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil telah ditentang sekeras-kerasnya oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).
Menurut satu hantaran yang dibuat di Facebook, DPPM menggesa kerajaan Malaysia menolak acara liar seumpama konsert Justin Bieber tersebut yang boleh memberi kesan negatif kepada generasi muda.
DPMM juga mencadangkan agar garis panduan lebih ketat diadakan untuk golongan muslim jika konsert tersebut masih tetap akan diadakan.
Ikuti hantaran yang dibuat oleh DPMM berikut mengenai konsert Justin Bieber di Malaysia.
Konsert Justin Bieber di Malaysia, Kerajaan Perlu Bertindak Segera
Pada Oktober ini, terdapat pengumuman konsert jelajah, Justice World Tour yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Malaysia. Justin Bieber sekali gus menjadi artis antarabangsa pertama yang akan mengadakan konsert berskala besar di Malaysia selepas negara tersepit dengan wabak pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu. Dengan harga tiket konsert Justin Bieber, Justice World Tour yang dianggarkan berharga sekitar RM288 hingga RM1,088. Para peminat Justin Bieber tidak sabar bertemu bintang antarabangsa itu yang bakal mengadakan konsert di Malaysia.
DPPM menggesa kerajaan Malaysia yang mana majoritinya adalah beragama Islam perlu bersikap tegas untuk membendung sebarang acara liar seperti itu dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak atasan terutama orang politik yang sering diperguna oleh penganjur untuk mendapat kelulusan dan memberi tamparan buruk terhadap kerajaan hari ini. Kementerian Pelancongan & Kebudayaan perlu bertindak pantas bagi mengeluarkan garis panduan ketat untuk golongan muslim jika terlaksana konsert ini.
Acara seperti ini sudah pasti akan memberi kesan negatif kepada generasi muda di Malaysia. Malah, perkara ini perlu juga diambil berat oleh pihak kerajaan lebih-lebih lagi selepas negara ini dilanda pelbagai bencana yang tidak diingini. Jadi, pelbagai pihak perlu fokus dan bertegas bagi mengelakkan kesan negatif ini makin berleluasa.
Sehubungan dengan ini, DPPM berharap agar pihak kerajaan bertindak pantas dan mengambil langkah yang rasional bagi menyelesaikan isu ini serta berikan keputusan yang terbaik yang berlandaskan syariat Islam. Semoga Malaysia terus dipelihara daripada sebarang bencana yang tidak diingini.
Sumber: Facebook Dewan Pemuda PAS Malaysia – DPPM