
Kerajaan Cadang Program PLKN Dikembalikan Semula
Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar program seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) dikembalikan semula selepas sekian lama ditangguhkan.
BACA: Dipersenda Dalam Dewan Rakyat, Netizen Muak Tonton Telatah Tidak Matang Ahli Parlimen Lebih Senior
Perkara yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof itu dikatakan sedang giat disiapkan strukturnya dan akan dibentangkan kepada jemaah menteri sebelum Dewan Rakyat berakhir.
PLKN dan BTN diwujudkan dengan misi pembinaan jati diri dan sahsiah bermatlamat kepada pengukuhan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, memupuk semangat perpaduan kaum serta integrasi nasional selain daripada pembentukan perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.

Pada tahun 2015, program PLKN diumumkan akan ditangguhkan bagi menjimatkan kos sebanyak RM400 juta oleh Perdana Menteri ke-6, Dato’ Seri Najib Razak dalam semakan Belanjawan 2015 pada 20 Januari 2015.
Pada 13 Ogos 2018, program ini kemudiannya dimansuhkan bersama-sama BTN melalui satu pengumuman Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Syed Saddiq Abdul Rahman melalui persetujuan mesyuarat kabinet Malaysia kerana didapati mempunyai salah guna indoktrinasi fahaman tertentu semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Cadangan pengembalian semula program ini disokong beberapa pihak kerana dapat mengembalikan semula semangat kenegaraan, kemajmukan budaya dan masyarakat berbilang kaum yang semakin ditinggalkan dalam kalangan belia kini.
Namun Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan modul program ini bagaimanapun perlu diubah seiring dengan perubahan zaman serta teknologi dan tidak terikat kepada cara terdahulu kerana belia hari ini (generasi Z) mempunyai pemikiran yang lebih global, terbuka dan terdedah dengan nilai-nilai universal.
Sumber: Sinar Harian
Trending now



