
Keperluan Memelihara Aib Dari Sudut Pandangan Seorang Agamawan
Alhamdulillah, ketika orang ramai masih tercari-cari pandangan dan nasihat dari agamawan mengenai isu penganiayaan dan pendedahan aib di antara ahli keluarga, terdapat satu hantaran di Facebook yang boleh dijadikan panduan bersama.
Berikut merupakan hantaran yang dibuat oleh Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri bagi mengulas isu tersebut yang kini sedang hangat diperkatakan. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat darinya.
Seorang anak yang dianiayai bapanya dari sudut seksual dan emosi bukanlah satu isu yang kecil. Saya tidak pasti kebenarannya kerana satu-satunya kaedah untuk mensahihkannya adalah muka pengadilan. Tindakan untuk melaporkan ke balai polis adalah amat wajar dan paling utama.
Sebelum kita membangkitkan tentang aib, perkara yang lebih penting untuk kita muhasabah bersama adalah bagaimana sepatutnya sistem keibubapaan berfungsi sebagai tempat untuk anak-anak mengadu dan melaporkan sebarang masalah. Apakah respon mereka? Bagaimana tindakan mereka? Ia akan menentukan bagaimana kesudahannya bagi si anak sama ada masalah itu dipendam dan anak terus merana, atau dibongkar sehingga orang ramai pula yang menghakimi.
Masyarakat juga perlu dididik untuk bersikap lebih berhati-hati kerana tugas menghukum hanya terletak di bahu pihak berkuasa. Apabila berlaku konflik kekeluargaan seperti yang tular baru-baru ini, itulah saat terbaik masyarakat untuk kembali memuhasabah peranan masing-masing sebagai anak dan ibu bapa serta memperkukuh kekurangan yang ada dalam keluarga masing-masing.
Dari sinilah baru kita belajar tentang keperluan pemeliharaan aib dan kepentingan untuk menyalurkan masalah hanya kepada pihak berautoriti. Sistem sokongan seperti ini tidak akan berhasil tanpa ibu bapa dan ahli keluarga yang cakna dan benar-benar memainkan peranannya.
Kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada sistem perundangan kita. Di samping itu, sebagai Muslim kita yakin Allah Maha Adil lagi Bijaksana. Besarnya tanggungjawab ibu bapa, besar juga dosa yang ditanggung jika amanah tidak dilunaskan sebaiknya.
BACA: Wajarkah Kongsi Masalah Dan Buka Aib Sendiri Untuk Tontonan Ramai?
Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri