Sindiket Macau Scam Di Malaysia Ditangkap, Kenali Teknik Dan Sistem Jenayah Kolar Putih Ini

Beberapa hari lalu, media melaporkan lima individu termasuk dua orang yang bergelar Datuk Seri dan Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penipuan sindiket Macau Scam di Malaysia.

Antara kelima-lima suspek, salah seorangnya dikenali ramai kerana sering menunjukkan kehidupan yang serba mewah dan terkenal dalam kalangan selebriti popular tanah air.

‘Kepala’ Sindiket Macau Scam Di Malaysia Ditangkap, Kenali Teknik Dan Sistem Operasi Penipuan Ini
Sumber: Kosmo

Menurut sumber, Datuk Seri yang ditangkap itu dipercayai merupakan seorang tauke judi dalam talian yang terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram yang kemudiannya ‘dicuci’ dalam perniagaan rokok elektronik (vape) yang diusahakan seorang selebriti, selain daripada menjadi rakan niaga kepada personaliti dan artis tanah air.

Apa itu Macau Scam?

Macau Scam merupakan satu sindiket yang menawarkan perkhidmatan cabutan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusanspoofing pegawai polis atau agensi kerajaan, serta spoofing pegawai bank negara atau bank komersial.

Didalangi sindiket Taiwan dan China yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong dan tempatan, spoofing merupakan teknik penipuan Macau Scam yang mana pemanggil akan berkomunikasi menggunakan platform Voice Over Internet Protocol (VolP) bagi membolehkan pemanggil meletakkan sebarang nombor telefon untuk memperdaya penerima bawa pemanggil adalah daripada nombor yang tertera di skrin.

Akaun bank milik rakyat tempatan akan digunakan untuk mengutip wang daripada mangsa yang mana ianya akan diperoleh (dikeluarkan secara tunai).

4 cara duit haram ‘dicuci’

1. Berjudi di casino

Cara yang terbaik untuk mencuci duit haram adalah dengan mengisytiharkan kemenangan di kasino. Beberapa pusingan dimainkan dengan menggunakan cip yang ditukar daripada wang tunai haram tanpa mendedahkan identiti. Selepas itu, cip yang ada pada akhir sesi perjudian akan ditukar semula berserta resit.

Tuntutan dibuat bahawa jumlah cip yang ada adalah jumlah yang dimenangi sepanjang perjudian. Sekiranya wang tunai yang terlibat berjumlah besar, proses pengubahan wang di kasino boleh dipercepatkan dengan menggunakan beberapa pemain.

‘Kepala’ Sindiket Macau Scam Di Malaysia Ditangkap, Kenali Teknik Dan Sistem Operasi Penipuan Ini 1
Sumber: Kompas.com

Contohnya dalam meja yang sama, dua orang pemain merupakan rakan. Seorang akan bertaruh pada semua merah dan seorang lagi bertaruh pada semua hitam. Selagi hasilnya bukan sifar atau dua sifar, salah seorang pemain akan memenangi pertaruhan dan jumlah tersebut akan menjadi jumlah kemenangan yang sah.

Konsepnya, kerugian akan disembunyikan dan kemenangan akan ditukar kembali bersama-sama resit.

2. Mencampurkan dana dalam perniagaan sah

Pelbagai perniagaan akan ditubuhkan dengan mencampurkan wang kotor dengan pendapatan yang sah.

Akan tetapi walaupun syarikat yang ditubuhkan adalah sah di sisi undang-undang dan boleh beroperasi seperti perniagaan biasa, perniagaan ini boleh melaporkan pendapatan mereka secara berlebihan dengan cara menghasilkan invois berlebihan untuk membenarkan aliran masuk wang kotor.

Perniagaan yang berjalan berasaskan tunai seperti kelab malam menyebabkan aliran masuk wang lebih sukar untuk dikesan.

Malah operasi boleh menubuhkan sebuah syarikat kosong yang digunakan untuk pengubahan wang haram. Syarikat ini hanya akan membuat transaksi palsu yang menyerupai perniagaan biasa bagi membenarkan aliran masuk tunai.

Dana akan dikitar menerusi beberapa syarikat sebelum kembali ke tuannya sebagai wang poket yang halal.

3. Penstrukturan dana

Disebabkan bank mempunyai prosedur pencegahan pengubahan wang, mereka mengalami kesukaran untuk memindahkan sejumlah wang besar menerusi bank.

Maka penstrukturan dana dilakukan – mengupah ramai pekerja untuk jangka masa pendek bagi melakukan banyak deposit kecil ke dalam beberapa akaun yang kemudiannya akan dikitar sebelum dipulangkan semula kepada tuan punya akaun; sama ada ke akaun luar pesisir atau dalam akaun syarikat palsu.

‘Kepala’ Sindiket Macau Scam Di Malaysia Ditangkap, Kenali Teknik Dan Sistem Operasi Penipuan Ini 2
Sumber: Malaysia Gazette

Kaedah penstrukturan ini akan memakan masa yang lebih lama sekiranya melibatkan jumlah yang besar bagi mengelakkan timbulnya keraguan. Pemindahan akan dibuat menerusi beberapa bank yang mengekalkan kerahsiaan tahap tertinggi pelanggan seperti Bank Swiss.

4. Jual beli hartanah untuk keuntungan (Flipping)

Pengubahan wang haram akan membeli rumah atau tanah daripada penjual tetapi memperkecilkan nilai pembelian dalam kertas.

BACA: Miliki Rumah Pertama Dengan PR1MA – 4 Langkah Mudah Untuk Memohon

Penjual kemudiannya bersetuju menerima perbezaan antara nilai sebenar pembelian dengan nilai yang tertulis di dalam kertas perjanjian.

Pembeli seterusnya akan menjual hartanah kepada individu lain dengan nilai yang lebih tinggi dan nilai perbezaan ini kemudiannya akan bertukar menjadi wang bersih menerusi penjualan beli hartanah.

Apa yang perlu dilakukan jika berdepan dengan situasi ini?

  1. Jangan panik dan sentiasa peka – tidak mengikut arahan yang diberikan pemanggil. Sekiranya anda terlibat dengan situasi yang ‘dibentangkan’ semak dahulu dengan pihak berkenaan yang sah sebelum membuat keputusan.
  2. Jangan sesekali dedahkan nombor akaun bank, nombor kad ATM, nombor kad kredit anda biarpun diminta.
  3. Layari portal rasmi Bank Negara Malaysia untuk maklumat terbaru dan terkini berkenaan dengan penipuan kewangan.
  4. Buat laporan polis supaya tindakan dapat diambil dengan segera.

Sumber: Loan Street, Astro Awani, Illuminasi, Kosmo