
Kenapa Sukan Papan Selaju Terpilih Dalam Olimpik Berbanding Skuasy?
Ketika ini atlet wanita Jepun menguasai sukan papan selaju (skateboard) yang mana pingat emas pertama diperoleh atlet berusia 13 tahun, Momiji Nishiya sekali gus dinobat pemenang termuda dalam sukan tersebut di Olimpik 2020.
Tidak kurang juga dengan kategori lelaki, Yuto Horigome turut memenangi pingat emas pertama untuk sukan itu menewaskan atlet kegemaran ramai dari Amerika Syarikat, Nyjah Huston.
Kemunculan acara papan selaju dalam Olimpik tahun ini sebagai salah satu usaha menarik golongan muda menonton Olimpik dan para pemain berharap orang ramai boleh menerima sukan tersebut dalam temasya itu.
Ketika sukan papan selaju diumumkan dalam pertandingan Olimpik tetapi bukan sukan-sukan yang lain misalnya skuasy dan boling, ramai yang mempersoalkannya.
Mereka yang mempertikainya tidak menyedari bahawa sukan papan selaju juga turut melibatkan kecergasan, mental dan pemulihan.
Keperluan bermain papan selaju dari segi kelincahan dan kekuatan, tidak sama seperti bola sepak mahupun skuasy dan tenis.
Malahan, segelintir penggiat sukan ini masih menganggap penerimaan dalam Olimpik seakan mencemar imej papan selaju yang dianggap hanya satu gaya hidup.
Mereka bimbang Olimpik akan mengubah gaya hidup dan cara skateboarding dimainkan tetapi jelas sekali tiada yang berubah dari segi budaya dan cara ia dipersembahkan kepada dunia.
“Skateboarding lebih besar daripada sukan, ia adalah seni,” kata Nyjah Huston.
Usaha menarik golongan muda menonton Olimpik dan nilai tambah yang mampu dibawa skateboarding adalah kelebihan yang dimiliki berbanding skuasy, yang sudah dimainkan sejak 1830.
Antara sebab lain skuasy gagal disenaraikan dalam Olimpik walaupun diiktiraf International Olympic Committee (IOC) – badan yang bertanggungjawab menetapkan acara sukan yang patut dipertandingkan dalam Olimpik secara undian, kerana tidak berjaya mendapat 2/3 majoriti undi walaupun mempunyai 20 juta pemain di seluruh dunia.
Tambahan, bidaan yang dibuat untuk Olimpik 2020 juga tidak sesuai kerana Jepun bukanlah salah satu kuasa besar sukan itu.
Satu kritikan yang selalu timbul dan menjadi salah satu sebab kenapa ia tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik. Kononnya bola skuasy terlalu laju dan kamera tidak mampu menangkap gerakkan bola berkenaan.
Selain itu, ruangan yang sempit dan tertutup juga dijadikan sebab sukan itu sukar untuk ditonton dan dinilai.
Tetapi itu tidak mematahkan semangat Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) untuk terus membawa sukan ini ke Olimpik dengan mengatakan akan melakukan banyak perubahan dan peningkatan padanya.
Sukan skuasy telah dipertandingkan di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tanpa sebarang masalah. Selain itu, kejohanan skuasy juga telah banyak dianjurkan dengan jayanya, hanya pihak IOC sahaja masih belum begitu yakin dengan sukan ini.
Jika tidak, Malaysia pasti mempuyai peluang terbuka untuk merangkul pingat emas pertama dalam temasya Olimpik.