IQ

Kenapa Memiliki IQ Yang Tinggi Semata-Mata Bukan Jaminan ‘Lebih Pandai’ Dalam Hidup?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Dalam dunia hari ini, kecerdasan pemikiran dan daya intelek yang tinggi sering kali hanya diukur dari segi keupayaan seseorang berjaya menjawab kertas soalan peperiksaan dengan cemerlang.

Mereka yang lulus peperiksaan dan menerima pengiktirafan di peringkat diploma, ijazah, sarjana dan kedoktoran dalam bidang tertentu inilah juga yang akhirnya dijulang sebagai golongan cerdik pandai.

Namun, golongan yang memiliki IQ yang tinggi ini tidak semestinya berjaya dalam hidup masing-masing dan ada di kalangan mereka ini didapati turut menemui kegagalan hidup berbanding dengan mereka yang lebih rendah IQnya.

BACA: William James Sidis: Pengakhiran Sadis Individu Dengan IQ Tertinggi Di Dunia

Dalam erti kata yang lain, orang yang pernah mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun mungkin akhirnya hanya bekerja ‘biasa-biasa’ di peringkat bawahan sahaja berbanding dengan orang yang pernah mendapat 1A tetapi telah berjaya ‘pergi’ dengan lebih jauh.

Kenapa sebenarnya ini berlaku? Sebenarnya, ahli psikologi telah mengklasifikasikan 4 jenis tahap kecerdikan iaitu IQ, EQ, SQ dan AQ yang masing-masing memainkan peranan dalam menentukan kejayaan dalam hidup seseorang.

ZaYed Zulfikli melalui hantaran di Facebooknya berikut telah menjelaskan dengan terperinci tahap-tahap kecerdikan ini dan kenapa ianya begitu relevan dengan situasi semasa pada hari ini.

1 IQ

Dalam dunia psikologi, ahli psikologi mengklasifikasikan 4 jenis kecerdikan (intelligence):

  1. IQ (Intelligence Quotient)
  2. EQ (Emotional Quotient)
  3. SQ (Social Quotient)
  4. AQ (Adversity Quotient)

IQ merujuk kepada ukuran tahap kecerdasan dalam memahami sesuatu perkara. Kita perlukan IQ untuk menyelesaikan masalah matematik, penghafalan dan mengingati semula pembelajaran.

EQ pula mengukur kebolehan seseorang untuk mengekalkan keharmonian sesama individu, patuhi masa, bertanggungjawab, jujur, hormat menghormati, rendah diri, bertimbangrasa dan sebagainya.

SQ mengukur kebolehan seseorang untuk membina rangkaian perhubungan dengan rakan-rakan dan mengekalkan pada jangka masa yang lama. Orang yang mempunyai EQ dan SQ tinggi selalunya boleh pergi jauh dalam hidup mereka berbanding mereka yang mempunyai IQ tinggi tetapi rendah EQ dan SQ. Kebanyakan sistem pendidikan (sama ada peringkat sekolah atau universiti) lebih menumpukan pada tahap IQ berbanding EQ dan SQ.

Orang yang mempunyai IQ tinggi selalunya akan bekerja atau menjadi pekerja di bawah mereka yang mempunyai EQ dan SQ tinggi walaupun dia hanya mempunyai IQ yang biasa sahaja. Tengok contoh Bill Gates, Steve Jobs atau Mark Zuckerberg dan banyak kes-kes IQ tinggi, tapi penghujung hidup mereka, hanya biasa-biasa sahaja dan tidak dapat menggunakan IQ untuk memberi nilai kepada orang lain. Dalam erti kata lain, mereka lebih menjadi pengikut dan malahan ada yang IQ tinggi membunuh diri.

EQ seseorang mewakili karakter, SQ mewakili sifat karisma seseorang.

AQ pula ada satu dimensi dan paradigma baru dalam menilai tahap seseorang. AQ mengukur kebolehan seseorang melalui kesukaran dan kesusahan dalam hidup dan keluar dari situasi itu tanpa hilang akal, tanpa jadi gila dan masih siuman.

Dalam menghadapi situasi kesukaran, AQ lah akan menentukan siapa yang akan berputus asa, siapa yang akan mengabaikan keluarga dan siapa yang akan memutuskan untuk membunuh diri.

Ibu bapa seharusnya mendedahkan kepada anak kepada dunia selain akademik. Bina IQ mereka dan juga EQ, SQ dan AQ. Mereka sepatutnya menjadi manusia yang berkebolehan dalam melakukan sesuatu dan mampu berdikari tanpa bergantung harap kepada ibu bapa.

Sebab itu kita tidak pelik, orang yang mempunyai IQ tinggi, CGPA 4.00 SPM 9A, boleh ikut mereka yang lebih rendah IQ. Yang ikut ajaran sesat, ajaran pelik-pelik, jangan terkejut budak-budak yang ada ijazah malahan degree dalam bidang agama pun boleh jadi pengikut Ayah Pin. Yang percaya cerita-cerita khurafat yang tak logik dek akal yang diceritakan oleh mereka yang takde background dalam bidang tersebut, tetapi siapa yang mempercayai cerita tersebut? Memanglah cerita kadang-kadang sedap untuk didengari halwa telinga tetapi untuk menilai sesuatu cerita itu masuk akal atau tidak, akhirnya IQ ke laut tetapi lebih mengikuti mereka yang mempunyai SQ yang tinggi kerana kebolehan bercakap dan petah berbicara dan memberi syarahan.

Agaknya kalau menyoal guru atau mempertikaikan fakta dianggap tidak mempunyai adab. Sebab itu, ajaran sesat berevolusi dari isu kecik sampai menjadi isu akidah. Contohnya Al-Arqam. Sehinggalah sampai satu tahap, dikatakan Abuya tak mati.

Dan penting, sebagai ibu bapa, jangan sediakan jalan untuk anak-anak tetapi sediakan anak-anak untuk menghadapi apa jenis jalan di luar sana, sama ada jalan dihampar dengan karpet merah atau jalan yang penuh onak duri.

Sumber: Facebook ZaYed Zulfikli