
Kementerian Pendidikan Nafi Anjur Kejohanan ‘Tarian Gelek’ Di Ipoh, Sudah Terima Permohonan Maaf Penganjur
Semalam tular di laman media sosial berkenaan gambar dan video program kejohanan ‘tarian gelek’ yang memaparkan logo dan nama Kementerian Pendidikan Malaysia di bunting atau kain rentang pentas.
Gambar dan video yang memperlihatkan aksi peserta berpakaian dan menari dalam keadaan seksi itu dipercayai dimuat naik oleh salah seorang peserta program sebelum memadamkannya setelah tular.
Program Kejohanan Medalist Dancesport yang diadakan di sebuah hotel di bandar Ipoh, Perak Sabtu lalu itu telah merosakkan imej Kementerian Pendidikan Malaysia kerana disangka menjadi penganjurnya.
Keterlibatan dalam menganjurkan program ini dinafikan oleh Kementerian Pendidikan dan memberitahu bahawa ianya diadakan tanpa kebenaran Kementerian Pendidikan Malaysia.
Penganjur pertandingan tersebut, JJ & Alice Danceworld kemudiannya memohon maaf kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (disahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching) setelah gagal mematuhi etika berpakaian walaupun setelah diberitahu oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Tarian Malaysia Bersatu (MUDA).