
Kementerian Dalam Negeri (KDN) Haramkan 3 Penerbitan Berunsur Lucah Dan Tak Bermoral
Tiga penerbitan bertajuk ‘Chelsia Amanda (Berdasarkan Kisah Benar)’, ‘Heartstopper Volume 2’ dan ‘Cekik’ telah diwartakan perintah larangan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana mengandungi kandungan yang melampau.
Pewartaan larangan ke atas penerbitan tersebut telah dibuat menerusi Warta Kerajaan P.U.(A) 328, 329 dan 330 bertarikh 12 Oktober 2022.
‘Chelsia Amanda (Berdasarkan Kisah Benar)’ memuatkan kandungan berunsur lucah dan tidak bermoral yang bertentangan nilai budaya dan norma hidup masyarakat Malaysia yang amat menitikberatkan kesopanan.
‘Heartstopper Volume 2’ dan ‘Cekik’ pula dilihat cuba mempromosikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta berunsur lucah yang melanggar sensitiviti agama dan budaya di Malaysia.
Amalan hidup songsang dalam buku-buku tersebut jelas dilarang dan bertentangan dengan semua ajaran agama serta norma hidup masyarakat di negara ini.
Sebarang aduan dari orang ramai berkaitan ketiga-tiga buku tersebut boleh dibuat dengan menghubungi Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN di talian 03-88868047, faks 03-88891682 atau Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.
Perintah larangan untuk buku-buku tersebut dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.
Mana-mana individu yang membuat kesalahan berkenaan boleh dipenjarakan maksimum 3 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya seperti ditetapkan mengikut Seksyen 8(2) akta sama.
BACA: Disney Melampau! LPF Tidak Akan Berkompromi – Ini Sebenarnya Punca Lightyear Diharamkan
Sumber: Berita Harian