Anggota Tentera Meninggal Terjun Bangunan

Keluarga Dedah Mangsa Kerap Dibuli Dalam Kem, Muka Ditumbuk Dan Digosok Dengan Berus Besi

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Keluarga Dedah Mangsa Kerap Dibuli Dalam Kem.

Ahli keluarga anggota tentera, Abdul Aziz Aznam, 20, yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga kuarters kediamannya di Kem Majidee, Johor, Ahad lalu berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian berkenaan.

BACA: Anggota Tentera Meninggal Dunia Selepas Jatuh Bangunan Dipercayai Dibuli

Kakak Allahyarham, Azlinna Aznam, 25, berkata, tindakan segelintir pihak yang membuat pelbagai andaian termasuk mengaitkan kejadian menimpa adiknya itu dengan tindakan bunuh diri sedikit sebanyak mengguris perasaan ahli keluarga terutama ibu mereka.

Abang Allahyarham, Mohamad Amirulnaim berkata, mangsa sering mengadu kepada keluarga yang dia sering dibuli dan ragging ketika berada di kem. Bahkan, pernah ditumbuk dan mukanya digosok dengan berus besi sehingga luka.

Susulan kejadian itu, mangsa menyatakan hasrat untuk menamatkan perkhidmatannya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika pulang ke kampungnya di Bercham pada Januari lalu.

“Sewaktu pulang ke kampung, parut pada wajah adik saya itu masih berbekas. Parut itu akibat digosok berus besi. Abdul Aziz juga dakwa dia sering ditumbuk ketika berada di kem.

“Abdul Aziz ada menunjukkan gambar yang diambilnya terdapat banyak kesan lebam lama pada badan.

“Akibat tidak tahan lagi diperlakukan begitu, dia lari dari kem dan pulang ke kampung,” katanya.

Pada awalnya, keluarga meng­anggap ia bukan masalah yang se­rius dan mereka juga ada mena­sihatinya untuk terus bertahan sehingga Allahyarham membuat keputusan untuk pulang ke rumah sejak lebih enam bulan lalu.

Ujarnya, sepanjang berada di rumah, arwah kelihatan sangat ceria dan sering menolong ibu serta adik-beradik lain dalam urusan harian.

“Apabila dia menyatakan hasratnya sekali lagi mahu berhenti, kami akhirnya akur dan berse­tu­ju dengan keputusan itu,” ujarnya.

Katanya lagi, anak bongsu daripada tiga beradik itu pulang semula ke kem pada 28 Ogos lalu untuk melapor diri sekali gus mahu menguruskan proses untuk menamatkan perkhidmatan dalam ATM.

Sebelum kembali ke kem, Abdul Aziz telah menyimpan motosikal kesayangannya di dalam bilik seolah-olah itu petanda dia tidak akan pulang lagi.

Anggota Tentera Dibuli Jatuh Bangunan

Jenazah Abdul Aziz selamat dikebumikan dengan istiadat ketenteraan kira-kira jam 2.30 pagi tadi disaksikan lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan rakan sejawat bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Allahyarham Abdul Aziz berpangkat prebet mula berkhidmat dengan ATM pada tahun 2018 selepas mahu mengikuti jejak arwah bapa mereka, Aznam Ariffin yang juga seorang tentera.

Sumber: Kosmo!