
Kelantan Kembali Catat Kes COVID-19 Akibat Perantau Rentas Sempadan
Selepas kira-kira sebulan bebas daripada sebarang kes COVID-19, Kelantan merekodkan kembali kes baru wabak tersebut.
Kes melibatkan seorang wanita mengandung 32 minggu yang pulang dari Kuala Lumpur ke kampung halamannya di Kuala Krai.
Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin kepada media, hari ini.
“Dari segi pengesahan sepatutnya kita tunggu pengumuman pengarah hospital.
“Daripada maklumat yang saya terima apa yang kita takutkan selama ini dari segi rentas sempadan. Dia (pesakit) balik apabila ketika sempadan negeri dibuka baru-baru ini.
“Secara tidak rasmi dikatakan dia positif dan sedang dirawat di hospital,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di kediaman rasmi menteri besar di JKR10, Kota Bharu.
Dalam pada itu, pihak hospital sedang mengesan kontak-kontaknya. Setakat ini, keluarganya negatif dan dikenakan kuarantin. Hanya dia seorang sahaja positif.
Dr. Izani menegaskan kerajaan dan pihak berkuasa berulang kali menasihati orang ramai supaya mengelakkan aktiviti rentas negeri agar dapat membendung penularan wabak berkenaan.
Katanya, pihak berkaitan melalui Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan akan berbincang bagi menentukan langkah seterusnya dalam usaha mengekang penyebaran wabak itu di daerah Kuala Krai.
Terdahulu, difahamkan seorang pesakit yang juga wanita hamil didapati positif Covid-19 dan kini sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
Kes tersebut menjadi tular di media sosial sejak semalam dengan pelbagai cerita dan spekulasi.
Setakat ini, pergerakan rentas negeri selepas 10 Mei memerlukan kebenaran daripada pihak polis, dan hanya kes kecemasan sahaja akan dibenarkan, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Individu yang memerlukan kebenaran pergerakan ini boleh memohon di balai polis berhampiran.
“Selepas 10 Mei, pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan untuk kecemasan seperti kematian, sekatan jalan raya bagi rentas negeri masih kekal,” katanya.
Sumber: Awani
Trending now



