Habuan Dunia

Kejar Habuan Dunia, Ramai Kini Buat Amalan Baik Semata-Mata Untuk ‘Sales’ Lebih Tinggi

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Ramai di antara kita sering leka dan terlalu mengejar habuan dunia hinggakan amal ibadat yang dilakukan juga adalah demi mengharapkan limpahan rezeki wang ringgit semata-mata.

Tiada lagi keikhlasan melakukan amalan yang baik semata-mata kerana Allah SWT tetapi lebih berkiblatkan untuk keuntungan bisnes dan jualan yang lebih tinggi.

Dipengaruhi pula oleh kejayaan pihak tertentu yang ‘untung juta-juta’ diyakini dengan melakukan ‘amalan tertentu’ yang diakui dan disahkan sendiri oleh golongan sifu bisnes dan asatizah yang mengajar mereka.

Perkara ini ditegur oleh Ustaz Ahmad Saifuddin Yusof di Facebooknya yang mengajak kita untuk sama-sama memperbaiki diri sendiri dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Insya-Allah.

Habuan Dunia

Buat Amal Untuk Habuan Dunia. Allah Memang Akan Bagi, Tetapi…

Zaman sekarang, apabila seseorang mendapat jualan mencecah juta-juta, orang mula akan bertanya apa amalannya. Sedangkan usaha keras untuk mendapat hasil sebanyak itu bukan kepalang.

Semakin parah, apabila diajar dalam seminar, amalan tertentu untuk tarik sales. Bukan sedikit, bahkan makin berlambak orang yang mengajar bisnes, diajar dulu tentang amalan murah rezeki. Sedangkan kita pun tahu rezeki itu bukan duit semata-mata.

Ada yang guna hadis sahih, ada yang salah faham hadis sahih, ada yang guna hadis tidak sahih, ada juga ajaran mengarut.

Contoh ajaran mengarut, apabila sale jatuh, telefon segera ibu ayah supaya ibu ayah merestui urusan dan mendoakan kita. Ajaran dari alam mana datang pun tidak tahu.

Jadi diajar, kita minta ibu ayah doakan kita supaya kita dapat habuan dunia semata-mata. Bukannya ketika ibadah kita kurang, amal makin menurun, barulah minta ibu ayah doakan kita.

Setiap amal yang kita buat mestilah ikhlas untuk Allah. Apabila ikhlas untuk Allah tidak terdetik di hati yang kita buat amal itu supaya sale makin naik. Cuma apabila kita beramal untuk habuan dunia, seolah-olah Allah dan Akhirat bukan lagi tujuan utama.

Kita tidak boleh sorok apa yang ada di dalam benak hati yang dalam dari Allah. Tidak perlu untuk berdalih dengan Allah, Allah tahu segalanya.

Apa yang kita buat dan niatkan itu Allah boleh berikan. Kita buat amal sedekah supaya bisnes kencang, Allah boleh bagi segera. Memang Allah berkuasa untuk memberikan apa yang kita inginkan.

Tetapi…

Kita teliti ayat ini. Baca terjemahannya ayat demi ayat.

مَّن كَانَ یُرِیدُ ٱلۡعَاجِلَةَ عَجَّلۡنَا لَهُۥ فِیهَا مَا نَشَاۤءُ لِمَن نُّرِیدُ ثُمَّ جَعَلۡنَا لَهُۥ جَهَنَّمَ یَصۡلَىٰهَا مَذۡمُومࣰا مَّدۡحُورࣰا

﴾ ١٨ ﴿

Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah. (18)

Surah al-Isra’ ayat 18

Secara peribadi saya juga tersentak dan tersentap membaca ayat ini.

Beranikah kita untuk beramal selain daripada ikhlas kepada Allah?

Astaghfirullah…

Kita mesti ubah kali ini. Jangan lagi kaitkan apa yang kita amal dengan apa yang kita dapat. Rezeki yang kita dapat itu adalah kurniaan dari Allah sama ada atas usaha keras kita menggunakan daya usaha badan dan fikiran atau daripada kurniaan rezeki dari Allah yang Maha Kaya yang tidak disangka-sangka.

Apa yang kita amal seperti solat, puasa, sedekah adalah murni hanya untuk Allah. Bukan untuk sale naik, bukan untuk beli kereta mewah, bukan untuk beli rumah besar.

Kita amal untuk Allah sahaja. Atas faktor taat perintah-Nya dan patuh suruhan Rasulullah Sollallahu ‘Alayhi wa Sallam dengan mengharapkan kebaikan di akhirat. Allah ‘Azza wa Jalla menyambung ayat ini;

وَمَنۡ أَرَادَ ٱلۡـَٔاخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعۡیَهَا وَهُوَ مُؤۡمِنࣱ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ كَانَ سَعۡیُهُم مَّشۡكُورࣰا

﴾١٩ ﴿

Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya. (19)

Surah al-Isra’ ayat 19

Kita nilai sendiri apa dalam hati kita. Adakah benar kita buat amal itu ‘solid’ ikhlas kerana Allah atau ada juga terlintas mahukan habuan dunia?

Saifuddin Yusof
Kita baiki sama-sama

BACA: Haram Guna Ayat-Ayat ‘Marketing’ Mengelirukan Dan Berunsur Ketidakpastian

Sumber: Facebook Ahmad Saifuddin Yusof