Kejadian Pemandu Mabuk Kerap Berlaku, Wilayah Persekutuan Cadang Bekukan Lesen Arak

Wilayah Bekukan Lesen Arak

Wilayah Persekutuan Cadang Bekukan Lesen Arak.

Belakangan ini, semakin kerap kejadian pemandu mabuk melanggar orang termasuk menyebabkan kematian anggota polis dan ia menunjukkan bahawa mereka tidak takut kepada undang-undang.

Sehubungan itu, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) tidak menolak kemungkinan untuk membekukan semua aktiviti pengeluaran dan penjualan arak.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa menegaskan cadangan pembekuan mungkin dilaksanakan sehingga satu garis panduan diwujudkan dan semakan perundangan dilakukan pihaknya.

Susulan insiden itu yang dilihat kian meningkat, ramai pihak mendesak kerajaan meminda undang-undang untuk memberikan hukuman yang lebih berat kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Bukan itu saja, tanda pagar #PemanduMabukMembunuh juga mula trending di media sosial dengan rata-rata netizen meluahkan rasa geram, sedih, kecewa dan marah terhadap pemandu mabuk yang sewenang-wenangnya tidak mengendahkan peraturan jalan raya.

Wilayah Bekukan Lesen Arak

Kejadian kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk semakin tidak terkawal dan terbaru seorang penghantar makanan FoodPanda menjadi mangsa seterusnya dalam satu kejadian, awal pagi tadi.

Nahas itu berlaku kira-kira jam 1.30 pagi di Lebuh Raya Iskandar menghala ke Kuala Lumpur.

Semasa berada di kawasan tersebut, motosikal yang ditunggang oleh mangsa, Mohamed Zaili Mohamed, 44, dirempuh dari arah belakang oleh pemandu lelaki di bawah pengaruh alkohol yang memandu kereta Nissan Livina.

Pemandu mabuk tersebut telah didakwa dan mengaku tidak bersalah sebaik tuduhan terhadapnya dibacakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, menurut laporan Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang mana kandungan alkohol di dalam badan sebanyak 161 mg/100 ml iaitu melebihi 81 mg/100 ml daripada had yang ditetapkan sebanyak 80 mg/100 ml.

Tertuduh yang diwakili peguam bela, Khairul Amin Abdullah, memohon jaminan rendah atas alasan masih muda dan akan membuktikan tidak bersalah ketika perbicaraan pada masa akan datang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Sementara itu, seorang peraih ikan hari ini didakwa atas tuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Kuantan setelah keretanya dipandu melawan arus dan merempuh sebuah kereta lain minggu lepas. Dalam kejadian itu, Herman Kamarudin, 41, meninggal di tempat kejadian.