
Kedai Lejen Speedy Video Umum Tutup 14 Cawangan Seluruh Malaysia Selepas 30 Tahun Beroperasi
Kedai lejen buat peminat filem, Speedy Video mengumumkan jualan hebat sempena penutupan 14 cawangan di seluruh negara selepas 30 tahun ditubuhkan.
BACA: Selepas 30 Tahun, Gunung Himalaya Akhirnya Boleh Dilihat Dengan Jelas Dari Jarak Jauh
Dianggap sebagai detik yang paling menyedihkan untuk mereka yang membesar bersama Speedy Video selama berpuluh-puluh tahun, berita penutupan yang diumumkan menerusi satu hantaran di Facebook itu bagaimanapun tidak disertakan dengan satu tarikh rasmi penutupannya.
Antara cawangan yang terlibat dalam penutupan ini adalah EkoCheras Mall, Ampang Point, AEON Cheras Selatan dan Mid Valley South Key.
https://www.facebook.com/speedyvideo.my/posts/3385873788109479?__tn__=-R
Keputusan ini diambil berikutan permintaan terhadap perkhidmatan streaming dan muat turun digital yang semakin meningkat dalam era teknologi menjadikan careka padat bukanlah pilihan utama untuk orang ramai mendapatkan hiburan.
Selepas lebih 30 tahun beroperasi, Speedy Video bakal tutup operasi 14 cawangan
Ditubuhkan pada tahun 1989, Speedy Video meraih populariti menerusi tawaran kepelbagaian hiburan filem dan drama antarabangsa selain album muzik kepada rakyat Malaysia sehingga pada tahun 2010, syarikat ini muncul sebagai pengedar filem utama di Malaysia di samping Berjaya HVN Malaysia.

Dibuka dengan bilangan cawangan melebihi 90 buah di seluruh Malaysia, Speedy Video mempunyai rantaian cawangan terbesar dan boleh dijumpai secara meluas di seluruh Malaysia.
Mempunyai lebih kurang 80,000 buah tajuk dalam bentuk DVD, VCD dan CD, baru-baru ini Speedy Video telah mengambil inisiatif mengikut teknologi dengan menjual beberapa buah cakera Blu-ray dan HD DVD dalam bentuk cakera optik.
Terdahulu pada September tahun lalu, kedai lejen Speedy Video cawangan Mid Valley dilaporkan bakal menutup operasinya namun membatalkan hasratnya.