Kedai Gunting Rambut Dibenar Operasi

Kedai Gunting Rambut Dibenar Operasi Dengan SOP Ketat Bermula Minggu Depan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Setelah lebih dua bulan perkhidmatan kedai gunting dan dandanan rambut dihentikan operasi angkara COVID-19 dengan pelaksanaan PKP, akhirnya akan dibuka semula bermula 10 Jun ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri yang berlangsung, pada Sabtu.

Katanya, kerajaan membuat keputusan itu setelah mengambil kira sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berjumlah RM13.5 bilion setahun, selain sektor tersebut melibatkan 74,500 tenaga kerja daripada 16,728 perniagaan yang berdaftar.

Aktiviti yang dibenarkan termasuk, gunting rambut asas, cuci rambut asas, cukur jambang dan misai, solekan dan rawatan rambut, manicure dan pedicure serta cuci dan rawatan muka.

SOP ini membawa golongan yang berisiko iaitu individu yang berusia 60 tahun ke atas, proses guntingan adalah diwajibkan secara temu janji tanpa kehadiran pengunjung daripada kumpulan umur lain.

Manakala bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, ibu bapa dibenarkan hadir bersama tetapi perlu mematuhi pemakaian alat pelindung diri seperti pelitup muka dan apron pakai buang.

Antara SOP yang perlu dipatuhi di kedai gunting rambut:

1. Pengusaha perlu menyediakan apron pakai buang yang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala yang dikongsi.

2. Pekerja hendaklah memakai pelindung muka, apron pakai buang selain sarung tangan yang berbeza bagi setiap pelanggan.

3. Perlu pastikan jarak antara setiap kerusi sejauh sekurang-kurangnya dua meter bagi setiap pelanggan.

Aktiviti PKP Bersyarat

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan sesuatu berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) esok, terutama mengenai kebenaran rentas negeri kepada golongan bujang.

“Untuk orang bujang, saya difahamkan esok Perdana Menteri akan mengumumkan sesuatu, maka kita tunggu.

“Saya takut kalau saya umumkan nanti berbeza atau lebih awal daripada Perdana Menteri. Tentu saja banyak perkara akan disebut esok, kita tunggu.

“Kalau tak sebut, baru saya sebut untuk orang bujang (kebenaran rentas negeri). Maka, bersabarlah hingga esok.”

BACA: Kluster Gunting Rambut Mungkin Muncul Jika Operasi Perkhidmatan Tak Dipantau Dengan Tegas

Sumber: Awani