
Kecoh Kubur Upin Ipin Di Indonesia, Ahli Keluarga Pemilik Makam Tampil Jelaskan Hal Sebenar
Media sosial digemparkan dengan penemuan dua kubur kecil yang bertanda nama Upin Ipin yang terletak di Sulawesi Tengah sehingga menjadi tular dan sohor kini di Indonesia dan Malaysia.
Kekecohan itu berlaku selepas seorang pengguna di TikTok berkongsi video dua kubur bersebelahan antara satu sama lain. Pada batu nisan berwarna biru itu, tertulis nama Ipin yang meninggal pada 2 April 1996, manakala Upin meninggal setahun sebelumnya iaitu 6 Ogos 1995.
Walau bagaimanapun, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Radzi menerusi laman Facebooknya tampil menafikan dakwaan tersebut, malah animasi itu hanyalah rekaan semata-mata tanpa menyentuh kisah hidup mana-mana pihak.
Spekulasi itu turut ditepis apabila ahli keluarga tampil menafikan kedua-kedua makam itu ada kena mengena dengan siri animasi popular tersebut.
Memetik sumber Kompas, bapa kepada pemilik kedua-dua makam itu terkejut dan bingung melihatkan orang ramai datang menziarahi pusara termasuklah para wartawan yang mencarinya.

Menurut ibu saudara, dua kanak-kanak itu bukanlah kembar seperti yang dilaporkan sebaliknya abang dan adik yang meninggal dunia ketika kecil akibat penyakit misteri.
“Mereka meninggal ketika usia belum mencapai setahun kerana penyakit misteri. Semasa kami sekeluarga membaik pulih tapak kubur pada 2000, ibu bapa anak-anak ini sengaja menamakannya Upin Ipin.
“Mereka mendapat inspirasi daripada karakter Upin Ipin dari Malaysia yang sangat popular di Indonesia,” jelas Limiyadin.
Bapa kepada kedua-dua arwah memaklumkan sengaja menamakan Upin Ipin di batu nisan kerana mudah untuk diingati.
Dalam pada itu, dia turut berpesan kepada orang ramai yang menziarahi di sana untuk mendoakan anak-anaknya.
BACA: Rakyat Malaysia Diminta ‘Report’ Kepada YouTube Jika Terlihat Video Tidak Bermoral Upin & Ipin
Ekoran penularan itu, Burhanuddin menyifatkan animasi ini jelas meninggalkan impak yang cukup hebat dan mereka perlu menggalas tanggungjawab besar untuk pastikan Upin Ipin jadi contoh terbaik.
Sumber: Kompas
Trending now



