
Kecoh Dakwaan Sotong ‘Frozen’ Sebenarnya Dubur Babi, Netizen Minta Henti Sebarkan Berita Palsu
Kita sedia maklum, media sosial antara medan penyebaran berita palsu yang begitu pantas. Melalui media sosial, penyebaran maklumat palsu semakin sukar disekat bahkan diperiksa kesahihannya.
Hal ini terbukti dengan banyaknya berita-berita yang tidak pasti sumber dan kebenarannya yang tersebar di media sosial terutama di aplikasi WhatsApp dan Facebook. Kebimbangan penularan berita palsu ini sedikit sebanyak akan mengelirukan golongan yang lebih berusia.
Tular baru-baru ini, mengenai perkongsian sebuah kiriman menerusi aplikasi WhatsApp berkaitan status halal satu produk makanan sejuk beku (frozen).
Kirim mesej itu berkongsi foto hidangan calamari ring ataupun sotong sejuk beku yang dipotong bulat seperti cincin. Produk berkenaan didakwa tidak dihasilkan menggunakan sotong sebenar, sebaliknya ia diperbuat daripada bahagian dubur babi sedangkan produk itu juga terpapar logo halal yang diiktiraf JAKIM.
Walaupun sudah dijelaskan ia merupakan info palsu, masih tetap ada segelintir individu yang menyokong mesej tersebut.
Penyebaran info itu telah mencetuskan perdebatan netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan individu yang tidak bertanggungjawab sehingga boleh memperdayakan golongan berusia yang mudah mempercayai berita sebegini.
Amenda la info bukan² orang share kat mak aku ni 😫 pic.twitter.com/PN4FhFlVmN
— qeels (@qeels88) March 3, 2022
Begitu juga bagi pihak pemborong dan peruncit barangan laut segar dan sejuk beku, D’Semeling Fresh Frozen Seafood yang terpanggil untuk mengulas mengenai isu ini.
SOTONG RING DARI BABI?
Kecoh kat WhatsApp dan Facebook pasal sotong ring yg dikatakan dibuat dari usus babi dan diletakkan perasa sotong. Ada yang meragui cop halal yang dicetak dilabel pembungkusan. Ada juga yang pertikai sebab rasanya liat tidak seperti sotong biasa.
1. Sotong ring liat?
Sotong ada banyak spesis dan banyak jenis… yang kilang pakai untuk buat sotong ring ni adalah jenis illex squid (boleh google nama sotong)… jenis ni tak ada di negara kita, banyak di negara luar… jadi orang tak kenal sangat sotong jenis ni… yang di negara kita banyak yang jenis loligo. Sebab tu rasa tak sama dengan sotong yang biasa kita makan dan cara masakkan pon lain untuk setiap jenis sotong.
2. Cop halal meragukan?
Di Malaysia badan yang mengawal status halal haram ni adalah JAKIM. Di negara lain ada jabatan agama islam mereka sendiri yang menyelia bab ni. Ada cop depa sendiri… takkan nak pakai cop JAKIM pula untuk negara Thailand/China? Boleh rujuk gambar dibawah untuk logo halal yang diiktiraf oleh JAKIM.
3. MAQIS
Kalau bab import export barangan dari luar ke dalam negara diserahkan pada MAQIS. Tugas MAQIS ni untuk check setiap barang yang masuk ke Malaysia. Ada banyak jabatan yang terlibat antaranya JAKIM. Kalau betul buat dari babi, mesti dah kantoi.
4. Bukti proses dari babi?
Setakat ni banyak video yang dibuat dari sotong je. Tak ada satu pon video dari babi. Setakat cakap kosong tanpa bukti yang kukuh, setakat boleh dengar saja.

Justeru, kitalah perlu memupuk diri budaya membaca bukan sekadar tajuk atau mempercayai bulat-bulat maklumat yang disebarkan melainkan daripada pihak yang sepatutnya.
Sama-sama kita peka dengan kebenaran sesuatu maklumat dan bersama hentikan penyebaran berita palsu yang akan merugikan banyak pihak.
Trending now



