Makanan Halal Gurdwara

Kecoh Ada Yang Pertikai Status Halal Masakan Gurdwara, Dr Zulkifli Tampil Beri Penjelasan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kecoh Ada Yang Pertikai Status Halal Masakan Gurdwara, Dr Zulkifli Tampil Beri Penjelasan.

Disebalik musibah yang melanda, dapat dilihat semangat rakyat Malaysia yang prihatin sanggup turun padang menghulurkan bantuan segera kepada mangsa banjir tanpa mengira perbezaan warna kulit, agama dan bangsa.

Sama ada yang datang bersendirian tanpa mewakili badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa, semuanya membawa satu misi yang sama.

Antara yang menjadi perhatian selain badan kebajikan yang sering melakukan aktiviti sukarelawan ini adalah komuniti Sikh dari Gurdwara Sahib Petaling Jaya (GSPJ) yang memfokuskan kepada penyediaan makanan percuma untuk mangsa banjir di sekitar kawasan Lembah Klang.

Mereka menyediakan makanan yang berasaskan vegetarian untuk disumbangkan kepada mana-mana kawasan yang boleh dicapai di sekitar Lembah Klang.

Makanan Halal Gurdwara
Sumber: Facebook

Walaupun sudah beribu-ribu pek makanan mereka sediakan yang mana ia turut dibantu oleh para sukarelawan kepada mangsa banjir.

Namun, ada yang mempersoalkan status halal makanan tersebut memandangkan mangsa banjir terdiri daripada pelbagai kaum sehingga mencetuskan perdebatan di media sosial.

Seorang pengguna Twitter meluahkan kekecewaannya apabila dia mendapati ada individu yang mempertikaikan status halal makanan yang dimasak komuniti Sikh.

Ini disebabkan ada yang khuatir walaupun makanan tersebut bersumberkan tumbuh-tumbuhan, faktor lain juga patut diambil kira.

Melihat situasi yang hangat dibincangkan ketika ini, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri terpanggil untuk memberi penjelasan mengenai hukum tersebut.

Beliau menerusi hantaran di Twitternya berkata, perkara itu tidak menjadi masalah selagi ia tidak melibatkan haiwan sembelihan bukan Muslim.

“Ya. Tidak ada masalah untuk makan hidangan yang disediakan bukan Muslim yang bukan ahli kitab (People of the Book) selagi mana tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka.

“Terima kasih kepada saudara kami yang beragama Sikh atas bantuan yang dihulurkan. God bless them,” katanya.

Dr Zulkifli menambah, hal itu terpakai dalam isu agihan bantuan, atau rumah terbuka oleh mereka yang berlainan agama dan faham mengenai konsep halal.

“Adapun bagi kedai makan, carilah yang ada logo halal JAKIM. Itu bermakna ia sah dari segi syarak dan sah kualiti kebersihan.”