
Kecerdasan Muhammad Haziq Berada Di Tahap ‘Band 6’, Guru Sekolah Menengah Ini Beri Penjelasan
Siapa tak kenal Muhammad Haziq Mohd Asyraf, 12, yang menggemparkan Malaysia menerusi liputan Facebook secara langsung mengenai penemuan ular sawa yang ‘amat-amat dahsyat’ baru-baru ini.
Bakat luar biasa yang berasal dari Bukit Selambau, Kedah tersebut terus mendapat perhatian pihak media tempatan keesokan harinya setelah beliau ditempah untuk muncul di TV3, Astro Awani dan banyak lagi.
Khabarnya sekarang, beliau dipilih untuk sama-sama menyertai program hebahan mengenai kesedaran pengambilan vaksin COVID-19 di Sungai Petani.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut mahu memberikannya sijil penghargaan dalam satu program di Langkawi kelak.
Tidak cukup dengan itu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah juga berkenan untuk menghadiahkan Haziq dengan telefon bimbit baru.
Haziq yang gemar memasak dan bercita-cita untuk menjadi seorang cef serta mempunyai kedai bakeri sendiri sebenarnya menderita penyakit Talasemia sejak berumur 5 tahun lagi.
Keadaan kesihatan Haziq juga tidak menentu kerana beliau kerap letih, terpaksa mengambil ubat selain suplemen asid folik setiap hari dan pernah dimasukkan ke hospital untuk membuat pemindahan darah.
Ini tidak menghalang beliau untuk bergerak aktif seperti kanak-kanak normal yang lain seperti yang telah beliau buktikan dalam liputan langsung pada 24 Januari lalu.
Kepetahan beliau bercakap serta keupayaan beliau untuk menerima dan menyusun maklumat, menganalisis, menilai dan mencipta secara spontan juga amat dikagumi oleh guru-guru.
BACA: ‘Salahkan Pihak Lain Bila Ditegur’ – Guru Kecewa Pelajar Sanggup Tiru Tugasan, Kurang Usaha
Seorang guru, Mohd Zailee berpendapat, Haziq turut layak diberikan ‘band 6’ iaitu tahap tertinggi dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang agak luar biasa bagi kanak-kanak yang sebaya dengannya.
Ikuti penjelasan beliau melalui hantaran Facebooknya berikut.

Aku ada tengok video budak Kedah jadi wartawan tu. Dua video aku tengok. Satu yang dia buat liputan pasal ular sawa meghelap-meghelip tu. Satu lagi, yang dia buat liputan di pasar tempat ibu dia berniaga. Dua tiga kali aku duk ulang tengok.
Aku tertarik dengan dialek Kedah dia sebab mengingatkan aku kepada kawan-kawan (dan marka-marka) utara di universiti dulu. Aku juga tertarik dengan kepetahan dia.
Berdasarkan dua video tu, aku bagi budak tu band 6 iaitu band tertinggi untuk pentaksiran bilik darjah.
Dalam video tu, budak tu guna abiliti menganalisis. Abiliti menganalisis ni dah membolehkan dia dapat band 4. Analisis yang macam mana?
Tengok video yang dia buat liputan dekat pasar mak dia berniaga. Pandai dia susun ayat dia step by step.
Mula-mula dia beritahu lokasi dia iaitu di pasar. Di pasar itu, ada dijual bahan-bahan mentah. Dia mulakan dengan sayur. Dia sebut juga rempah. Kemudian ada ikan siap dengan contoh. Ikan temenung, ikan siakap dan haiwan laut seperti sotong serta udang. Lepas tu dia sebut ayam. Dekat situ saja dah boleh dapat band 4.
Wartawan Astro Awani tu minta dia tanya soalan kepada peniaga. Ini pula sebab dia boleh dapat band 6 iaitu abiliti menilai dan mencipta. Dia cipta sendiri soalan untuk buat penilaian.
Dia tanya mak dia, “Macam mana berniaga? Laku ke tak laku?”
Budak tu akhirnya berjaya dapat band 6. Aku percaya benda tu dia buat secara spontan sahaja. Kalau ada persediaan, hasilnya jauh akan lebih baik.
Kebolehan menerima dan menyusun maklumat untuk disampaikan semula maklumat itu satu kebolehan yang penting. Aku yang mengajar di sekolah menengah pun susah kekadang nak ajarkan benda ni kepada murid-murid aku. Dia yang baru 12 tahun tu dah ada kebolehan tu, bagi aku amatlah memberangsangkan.
Tahniah diucapkan kepada ibu bapa, guru-guru dan orang sekeliling dia yang mendidik dia. Ini ialah contoh terbaik kita selaku orang dewasa kena banyak melayan budak-budak. Selalu minta mereka bercerita kepada kita agar mereka ada keyakinan diri.
Sumber: Mohd Zailee