Tourism Malaysia

“Kebodohan Apakah Ini?” – Foto Tourism Malaysia Jadi Bahan Jenaka Malukan Imej Negara

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

“Kebodohan apakah ini? Siapa hakim dia? Aku hendak gigit telinga dia… Memang patut pun kita selalu kena ‘scam’ (tipu)… Semua yang pos semua percaya… Haishhh.”

Demikian luahan perasaan Shahrin Ahmad, seorang pakar falak terkenal tempatan yang mengkritik foto yang telah terpilih sebagai antara pemenang peraduan anjuran Tourism Malaysia.

Foto yang memaparkan panorama waktu malam pusat bandar raya Kuala Lumpur dengan mercu tanda Menara Berkembar Petronas yang dilatari bulan sabit bersama kerlipan bintang di sekelilingnya itu turut disifatkannya sebagai satu keputusan aneh dan bahan jenaka yang memalukan imej negara.

Jika dilihat dari sudut logik, bintang merupakan objek bercahaya terang daripada ribuan galaksi di alam semesta yang terletak sangat jauh dari bulan dan tidak mungkin berada begitu dekat di hadapannya.

Tourism Malaysia

Menurut laporan Utusan Malaysia, Shahrin yang juga ahli jawatankuasa falak Selangor dan pentadbir laman sesawang popular Falak Online telah memuat naik foto tersebut yang diambil dari akaun sosial Tourism Malaysia.

Foto berkenaan difahamkan merupakan antara yang dipilih sebagai pemenang untuk Peraduan Malaysia di Mata Anda yang dianjurkan oleh agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu.

Walau bagaimanapun, ianya menerima kritikan hebat di media sosial oleh netizen dan di kalangan jurugambar profesional agensi media tempatan yang menyifatkan foto itu sebagai jelas bentuk penipuan dengan proses suntingan imej bulan yang tampak terlalu ketara.

“Hendak promosi Malaysia boleh sahaja semua akan sokong tetapi jangan promosi dengan foto temberang dan lain kali carilah juri yang boleh pakai sikit,” ujar Shahrin menerusi satu hantaran status di laman sosialnya.

Tinjauan akhbar tersebut mendapati hantaran foto kontroversi tersebut telah pun dipadam setelah teruk menerima kecaman netizen.

BACA: Tular Lokasi Pelancongan Baru Di Sungai Petani, Rupanya Ramai Yang Dah Tertipu

Sumber: Utusan Malaysia