
Kebenaran Bujang Rentas Negeri Antara Yang Paling Dinanti Dalam Perutusan Khas PM Esok
Antara perkara yang menjadi perhatian dan paling dinanti dalam ‘Perutusan Khas Perdana Menteri: Perintah Kawalan Pergerakan’ pada petang esok adalah kebenaran bujang untuk merentas negeri bagi pulang ke kampung halaman masing-masing.
BACA: Bagi Yang Bujang, Bersabarlah – KKM
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu hingga disambung kepada PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei sehingga 9 Jun ini, kebenaran untuk merentas negeri hanya dibuka kepada beberapa golongan, antaranya golongan bujang yang mahu berkahwin, golongan suami isteri yang terpisah negeri serta urusan kecemasan seperti perubatan dan kematian.
Dalam sidang media bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri petang tadi seolah-olah ada berita baik mengenai kebenaran bujang untuk merentas negeri daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ‘Perutusan Khas Perdana Menteri: Perintah Kawalan Pergerakan’ yang dijadualkan pada jam tiga petang esok hari.
“Untuk orang bujang, saya difahamkan esok Perdana Menteri akan mengumumkan sesuatu, maka kita tunggu. Saya takut kalau saya umumkan nanti berbeza atau lebih awal daripada Perdana Menteri.
Tentu banyak sahaja perkara akan disebut esok, kita tunggu. Kalau tak sebut, baru saya sebut untuk orang bujang. Maka bersabarlah sehingga esok.”
Enam hari lalu, beliau memberitahu kerajaan sedang mempertimbangkan kebenaran untuk orang bujang merentas negeri kerana memahami perasaan golongan bujang yang rindukan keluarga di kampung.
Dalam satu ciapan pada hari sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati mereka yang bujang supaya bersabar kerana tidak tergolong dalam golongan yang dibenarkan untuk merentas negeri.
Di ruangan komen, rata-rata daripada mereka yang bujang mengeluh kerana sudah lama tidak bertemu dengan keluarga susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuat kuasa sejak 18 Mac lalu akibat daripada penularan wabak pandemik COVID-19.
Atas nasihat kesihatan, rakyat Malaysia yang mahu melakukan pergerakan keluar dari rumah disarankan untuk memakai topeng muka dalam usaha mengekang penularan.
Jika anda masih lagi belum mempunyai topeng muka, dapatkan sekarang topeng muka tiga lapis di MR. DIY dengan harga potongan sebanyak RM10 untuk setiap pembelian.
Klik DI SINI untuk lakukan pembelian.
Sumber: Berita Harian