
Kata Kunci ‘U-Turn’ Jadi Trending, Sudah Ada Petisyen Minta BNM Tarik Balik Keputusan Mereka
Lewat malam tadi, kata kunci u-turn menjadi tular susulan daripada kenyataan terkini daripada Bank Negara mengenai penangguhan bayaran balik sewa beli.
Akhir Mac lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penawaran penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan susulan daripada wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini bagi meringankan beban pengguna yang terjejas.
BACA: Bank Tawar Penangguhan Bayaran Balik Sehingga Enam Bulan, Ini 5 Perkara Yang Peminjam Perlu Tahu
Tidak dinafikan wabak yang sedang melanda ini sememangnya meresahkan bukan sahaja daripada segi keselamatan dan kesihatan tetapi juga daripada segi kewangan dan ekonomi.
Sebelum itu apa yang perlu anda faham mengenai moratorium enam bulan bermula 1 April hingga 30 September 2020 yang dilancarkan sebelum ini?
Ini penjelasan ringkas daripada ahli ekonomi, Ikmal Nordin:
1. Tidak perlu bayar pinjaman rumah dan kereta selama enam bulan tidak bermakna pinjaman itu dimaafkan enam bulan tetapi dilanjutkan lagi tarikh pinjaman enam bulan ke hadapan.
2. Hutang kad kredit masih lagi perlu dibayar, namun sekiranya memerlukan boleh tukarkan menjadi pinjaman bertempoh tiga tahun dan kadar faedah tidak lebih 13%. Masih berhutang tapi kadarnya lebih murah sedikit dan tempoh bayaran juga dipanjangkan sedikit.
3. Jika sebelum ini ada had untuk bank bagi pinjaman beli hartanah, saham dan unit trust, had-had ini akan dimansuhkan. Manakala had bagi pinjaman pada syarikat-syarikat berkait TNB, Petronas dan Telekom dinaikkan.
4. BNM telah mencairkan sebahagian rizab yang bank komersial simpan di BNM dengan sebab semasa krisis duit boleh digunakan dan tak berapa perlu untuk disimpan; rizab-rizab bank dikurangkan.
Kata kunci ‘u-turn’ menjadi trending di laman media sosial susulan daripada pengumuman pusingan U yang mana bank akan mengenakan kaedah moratorium ke atas sewa beli.
https://www.facebook.com/bnm.official/posts/10158274748049872
Kenyataan tersebut yang dikeluarkan malam semalam adalah bagi menyelesaikan isu prosedur untuk mewujudkan pengesahan perundangan moratorium mengikut Akta Sewa Beli 1967 dan tuntutan Syariah.
Lebih memburukkan keadaan, banyak media melaporkan kenyataan yang dianggap telah mengelirukan rakyat Malaysia. Di ruangan komen hantaran itu, ada pihak yang meminta agar Bank Negara mengeluarkan kenyataan rasmi yang memberikan penerangan mudah mengenai perkara ini. Malah ada yang sudah memulakan petisyen meminta agar pihak BNM menarik balik kenyataan tersebut.
Untuk pengetahuan anda, pelanggan boleh memilih untuk membayar penangguhan ansuran terkumpul enam bulan bersama ansuran Oktober 2020 tanpa dikenakan caj faedah tambahan ataupun terus membayar balik ansuran selepas Oktober 2020 menerusi lanjutan enam bulan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang asal.

Tidak akan mengenakan caj faedah tambahan atau fi bayaran lewat untuk ansuran tertunggak April dan Mei oleh pelanggan yang menangguhkan bayaran ansuran bulanan sekiranya bayaran bagi April, Mei dan Jun 2020 tidak dibuat lebih dari 30 Jun 2020, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) berkata akaun akan tertunggak dan caj bayaran lewat akan mula dikenakan dari Julai 2020 dan seterusnya.
“Dalam kes ini, faedah berdasarkan kadar kontrak akan dicaj ke atas jumlah ansuran tertangguh sehingga dibayar sepenuhnya, yang sepatutnya pada akhir tempoh lanjutan enam bulan.
Justeru, pelanggan sewa beli perlu terus membayar ansuran bulanan seperti biasa mengikut jadual asal.”
Menurut Ikmal, sesiapa yang ‘read between the lines’ akan faham yang BNM sebenarnya menjangkakan kesan ekonomi COVID-19 untuk berlarutan lebih daripada 2 minggu dan bermungkinan akan sampai hujung tahun.
Isu ini bukanlah suatu isu yang perlu dipolitikkan dan yang penting rujuk bank masing-masing bagi penerangan yang lebih jelas. Jika keadaan ekonomi tidak berubah dan masih boleh dibayar seperti biasa, adalah lebih baik dibayar sahaja.
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=10157435034363951&id=588068950
Wabak pandemik ini bukan sahaja menjejaskan rakyat marhaen tetapi juga beberapa orang kaya antaranya taikun minyak Singapura, Lim Onn Kuin yang terpaksa mengisytiharkan muflis susulan daripada kerugian lebih USD800 juta menjelang akhir April 2020.
Menurut sumber Sinar Harian, langkah kerajaan meringankan beban orang ramai yang berhutang kepada institusi kewangan dengan menangguhkan pembayaran balik selama enam bulan akan menyebabkan bank menderita hutang lapuk.
Hutang lapuk yang banyak akan melemahkan kedudukan kewangan bank dan boleh menyebabkan mereka muflis disebabkan ramai orang yang tidak mampu membayar balik hutang-hutang mereka kepada bank.