Kapten Disebalik Video Pendaratan Kemas Pesawat MAS

Kapten Kongsi Kisah Di Sebalik Pendaratan Kemas Pesawat MAS Ketika Taufan Eunice Di UK

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Baru-baru ini, tular sebuah klip video yang merakam detik pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang berjaya mendarat di Lapangan Terbang Heathrow, London ketika taufan Eunice melanda negara tersebut.

Pendaratan itu dirakam menerusi sesi siaran langsung Big Jet TV di saluran YouTube ketika United Kingdom berdepan dengan taufan tersebut yang berlaku pada 18 Februari lalu.

Ulasan bersahaja Jerry Dyer dan penuh bersemangat mengenai cara pendaratan pesawat itu menjadikan video itu ‘hit’ dalam kalangan warganet. Ia membuatkan ramai mengagumi cara pendaratan yang dikatakan begitu kemas walaupun berdepan situasi angin kencang.

Inilah juruterbang di sebalik pendaratan kemas pesawat MAS

Memetik sumber Utusan TV, penerbangan pesawat MH4 itu dikendalikan oleh Kapten Low Boo Keng dan dibantu Pegawai Pertama Muhamad Firdaus Mohd Sharif.

Menurut MAS, Kapten Boo Keng merupakan anak jati Kedah, berusia 53 tahun yang memiliki pengalaman penerbangan selama 31 tahun. Manakala Muhamad Firdaus, 33, pula memiliki 12 tahun pengalaman berasal dari Shah Alam.

Kapten Disebalik Video Pendaratan Kemas Pesawat MAS
Sumber: Utusan TV

Gegaran dapat dirasai pada ketinggian 10,000 kaki

Bercakap mengenai pendaratan yang mencemaskan itu, Muhammad Firdaus dalam rakaman temu bual bersama Utusan TV mengaku keadaan taufan Eunice lain daripada biasa.

Ujarnya, kebiasaanya apabila cuaca buruk melanda, pesawat hanya akan merasai gegaran pada ketinggian sekitar 1,000 ke 2,000 kaki sebelum mendarat.

“Namun, ketika ribut Eunice, pada ketinggian 10,000 kaki kami sudah dapat merasai angin yang kuat datang dari pelbagai arah,” katanya.

Kapten Kenny mengatakan ia bukanlah pertama kali beliau menempuh cuaca sedemikian rupa sepanjang 31 tahun pengalaman sebagai juruterbang.

Ketika itu landasan masih kelihatan dengan jelas, tetapi pesawat bergoyang ke kiri dan kanan disebabkan angin kencang berpunca daripada ribut Eunice.

Biarpun sudah maklum mengenai angin kuat di London, Kenny mengatakan pada waktu itu belum diisytihar mengenai ribut Eunice.

Kapten Disebalik Video Pendaratan Kemas Pesawat MAS

“Terbang dalam keadaan cuaca ribut ini bukan mudah. Penumpang akan rasa tidak selesa disebabkan gegaran yang berlaku,” ujar Kenny.

Mereka mengatakan kejayaan pendaratan itu berdasarkan latihan dan tunjuk ajar ketika berada di akademi dan paling penting adalah untuk kekal bertenang di dalam situasi cemas tersebut.

Malah, mereka juga percaya juruterbang MAS yang lain pasti dapat melakukan perkara yang sama jika berhadapan situasi sebegitu.

Sumber: Utusan TV