
Kandungan Asid Benzoik Dalam Kicap, Ini Apa Yang Rakyat Malaysia Perlu Tahu
Tindakan kerajaan Singapura menarik balik produk kicap dari Malaysia selepas mengesan terdapat asid benzoik yang melebihi had telah menimbulkan sedikit kerisauan di kalangan orang ramai.
Ramai penggemar kicap di Malaysia tertanya-tanya apakah sebenarnya asid benzoik? Benarkah selama ini kicap di negara kita memang mengandungi asid benzoik yang melebihi had? Adakah kicap di Malaysia sebenarnya merbahaya?
Berikut merupakan satu perkongsian ilmu yang dibuat di laman Facebook Sazly Tulih Page bagi menjawab kemusykilan orang ramai mengenai kandungan asid benzoik di dalam kicap yang sedang hangat dibincangkan sekarang ini.
BerKICAP dengan Asid Benzoik.
Kecoh juga minggu ini di dada akhbar dan media sosial berkenaan negara Singapura menarik balik produk kicap dari Malaysia selepas mengesan asid benzoik melebihi had seperti termaktub dalam Peraturan Makanan Singapura. Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) juga menyatakan bahawa tiada pengisytiharan penggunaan asid benzoik pada label pembungkus produk kicap tersebut. Aduhai, cari pasal betul.
Asid Benzoik…. Apa tu?
Asid benzoik adalah adatif makanan yang berfungsi sebagai bahan pengawet digunakan untuk mengawal pertumbuhan kulat, bakteria dan yis bagi memanjangkan jangka hayat penyimpanan makanan. Ianya dalam bentuk pepejal berhablur tanpa warna. Ia juga dikenali sebagai asid fenilformik atau asid benzena karboksilik wujud dalam bentuk semula jadi (buah beri), tetapi biasanya disediakan secara sintetik.
Selamat ke?
Kalau nak ikutkan, bahan pengawet ini selamat untuk digunakan sebagai bahan tambah di dalam makanan, tetapi pada had atau kadar yang dibenarkan hendaklah mengikut apa yang telah di gariskan oleh Akta Makanan (1983) dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Kebiasaannya asid benzoik ini digunakan di dalam produk seperti cili boh, sos cili, sos tiram, jem, buah kering dan buah atau sayur dalam tin. Bagi produk kicap, had maksimum penggunaan asid benzoik yang dibenarkan adalah 1000mg/kg sahaja. Sangat sedikit. Bukan “secukup rasa” ye..
Walaupun penggunaan asid ini dikatakan selamat, jika digunakan secara berlebihan dari had yang ditetapkan atau tanpa kawalan, ia akan memberikan kesan sampingan seperti kesukaran bernafas, asma, bengkak pada muka, bibir, lidah, atau tekak dan alahan. Sungguhpun begitu, badan manusia tidak mengumpul asid benzoik dan ia akan dimetabolismakan dan dikeluarkan dalam bentuk urin dalam masa 24 jam.
Pesanan kepada pengguna
Baca label dibahagian ramuan untuk mengetahui kehadiran asid benzoik. Elakkan makan makanan yang mempunyai asid benzoik jika anda mempunyai masalah alahan apa produk ini.
Pesanan kepada pengilang
Jangan terlalu fikirkan keuntungan dengan menambah asid benzoik melebihi kadar yang ditetapkan. Buat deklarasi pada label supaya pengguna tahu.
”Keselamatan Makanan Tanggungjawab Bersama”
#foodsafetyfirst #sazlytulihjer
Sumber: Sazly Tulih Page