Kanak-Kanak Tumbuk Mata Buaya

Kanak-Kanak Tawau Tumbuk Mata Buaya Elak Dibaham

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Jarang sekali kita mendengar kisah keberanian kanak-kanak menentang musuh, lazimnya ia hanyalah rekaan cerita untuk memberi imaginasi kepada kanak-kanak agar sentiasa berani.

Tetapi, kisah seperti ini wujud dalam dunia realiti. Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun nekad menubuk mata buaya berjaya menyelamatkannya daripada dibahan reptilia ganas itu di Sungai Imam, Kampung Bombalai, Tawau.

Dalam kejadian 3 petang itu, kanak-kanak terbabit dikatakan turun ke sungai untuk mengalihkan perahu bapanya yang mahu digunakan oleh bapa saudaranya untuk menangkap ikan, ketika air pasang.

Mangsa yang tidak menyedari kehadiran buaya berkenaan tiba-tiba ditarik ke dalam sungai sebaik berada dalam sungai berkenaan.

Kanak-kanak tersebut berusaha melepaskan diri dan cuba memukul secara rawak menyebabkannya berjaya memukul tepat di bahagian mata buaya terbabit.

Ekoran pukulan itu, buaya berkenaan melepaskan gigitannya dan mangsa terbabit diselamatkan ahli keluarganya yang lain.

Kanak-Kanak Tumbuk Mata Buaya
Sumber: Utusan Borneo

Menurut seorang daripada keluarga mangsa yang mahu dikenali sebagai Din, 34, berkata sebaik mengetahui kejadian itu dia bergegas membawa mangsa ke Hospital Tawau.

Akibat daripada serangan gigitan buaya itu, paha kanan mangsa terkoyak. Situasi terkini, mangsa berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan lanjut di hospital, menurut keluarga mangsa.

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, Sailun Aris ketika dihubungi, mengesahkan insiden berkenaan.

“Berikutan kejadian itu, kita gerakkan sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian pagi ini untuk meninjau sebelum memasang perangkap.

“Kes ini adalah yang pertama kali membabitkan serangan buaya ke atas penduduk di kawasan ini walaupun sebelum ini pernah menerima aduan kehadiran haiwan berkenaan,” katanya.

Sedia maklum, kawasan perairan di Sabah dan Sarawak sememangnya terkenal dengan kehadiran Sang Bedal.

Pelbagai usaha dilakukan bagi melindungi buaya daripada pupus, termasuk peruntukan undang-undang antarabangsa dan tempatan, yang menghalang pelbagai aktiviti, termasuk pemburuan, menangkap, menjual, malah memelihara haiwan berkenaan.

Walau bagaimanapun lambakan populasi reptilia ini mencetuskan konflik dengan manusia apabila ia juga menyebabkan peningkatan kes serangan buaya, khususnya di kawasan habitat semula jadinya.

Sumber: Harian Metro